Gambar hiasan.
Gambar hiasan.

Jangan sampai pelajaran terbabas

Pelajar perlu seimbangkan kehendak sebagai pempengaruh dan tanggungjawab menuntut ilmu

AZLEENDA SAHALUDINAZLEENDA SAHALUDIN
05 Feb 2024 08:56am

Sebagai seorang pelajar yang memikul tanggungjawab menuntut ilmu perlu mengutamakan pembelajaran tanpa dibayangi perkara-perkara yang menjejaskan fokus utama mereka.

Namun, ia bukanlah masalah sekiranya mereka menunjukkan minat menceburi dunia media sosial, apatah lagi memasang niat menjadi pempengaruh (influencer).


SHUHAIDA
SHUHAIDA

Guru Sekolah Kebangsaan (SK) Pangkalan TLDM Lumut Perak, Shuhaida Mostaf berkata, menjadi influencer pada hari ini adalah satu kemahiran insaniah (soft skill) untuk melatih anak-anak tampil lebih berani dan yakin dalam melontarkan pendapat.

Katanya, ia juga bonus buat mereka yang bijak mengendalikan media sosial sebagai sumber pendapatan sampingan yang sedikit sebanyak membantu mengurangkan beban kewangan.

“Kita (guru) memang menggalakkan pelajar menceburi industri media sosial yang ada pada hari ini seperti TikTok, YouTube dan sebagainya tetapi turut menasihatkan mereka agar tidak mengabaikan pelajaran.

“Mereka yang berumur belasan tahun ini perlu tahu tanggungjawab sebagai pelajar kerana itu adalah kepentingan utama.

“Jangan sampai perkara sampingan seperti berniaga di TikTok atau jadi pencipta kandungan melebihi apa yang sepatutnya kerana mereka masih seorang pelajar,” katanya kepada Sinar Bestari. Penegasan itu turut disokong guru Kolej Vokasional Datuk Seri Abu Zahar Isnin, Melaka, Mohamad Nurzakwan Mohd Sabri.

Artikel Berkaitan:


MOHAMAD NURZAKWAN
MOHAMAD NURZAKWAN

Ujarnya, pelajar perlu bijak membahagikan masa dengan belajar dan tugas sampingan sebagai influencer memandangkan pendidikan amat penting dalam apa jua bidang pekerjaan yang bakal mereka ceburi.

“Hendak jadi pempengaruh atau pencipta kandungan juga memerlukan seseorang itu berilmu kerana ia akan menjadi kayu pengukur kerelevanan sesuatu kandungan yang dihasilkan.

“Hari ini, saya lihat semakin ramai pempengaruh yang mengutarakan pendapat seakan bercanggah dengan perkara sepatutnya, malah ada sesetengah mereka mengatakan sekolah tiada nilai.

“Ia secara tidak langsung menyebabkan pelajar yang ratanya masih belum matang pemikiran memahami perkara negatif seterusnya mempengaruhi mereka merasa malas untuk belajar,” jelasnya.

Tambah Cikgu Nurzakwan, sekiranya betul ingin menjadi pempengaruh, jadilah pempengaruh yang berpendidikan dengan memberi input dan nasihat kepada generasi akan datang. Pendapat 1:

Apabila negara dikejutkan dengan isu sekolah tidak penting atau Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tiada nilai sehingga dikaitkan dengan ramai pelajar berminat menjadi pempengaruh, sedikit sebanyak mengundang kegusaran para ibu bapa.

SITI FATIMAH
SITI FATIMAH

Seorang ibu kepada dua cahaya mata yang masih bersekolah, Siti Fatimah Ariffin, 43, mengakui sangat tidak bersetuju akan perkara ini kerana sekolah bukan sahaja untuk menuntut ilmu, bahkan melatih dan mendidik anak-anak nilai disiplin.

“Memang anak-anak ini pendidikannya bermula dari rumah, namun sekolah juga memainkan peranan penting dalam mendidik mereka erti disiplin.

“Disiplin masa, patuh pada peraturan sekolah kerana apabila mereka tamat belajar nanti dan sudah memasuki alam pekerjaan, mereka akan terikat pula dengan peraturan tempat kerja,” katanya.

AMANDA
AMANDA

Bagi pelajar Tingkatan Dua SK (A) Bukit Kemandol, Selangor, Amanda Abdullah, merekod dan menyunting video adalah perkara yang menyeronokkan.

Akuinya, aktiviti itu menjadi penawar setelah penat belajar.

Namun, baginya ia sekadar dijadikan simpanan peribadi sebagai kenangan untuk ditonton kemudian hari.

“Saya selalu juga lihat ramai pempengaruh di TikTok yang berkongsi ilmu sama ada tentang kesihatan, kecantikan dan cara suntingan video.

“Saya jadikan kandungan mereka sebagai ilmu tambahan kerana perkara tersebut saya tidak akan belajar di sekolah.

“Untuk menjadi pempengaruh, saya sebenarnya tidak berminat kerana ia memerlukan komitmen yang tinggi terutama masa. Memandangkan sekarang masih pelajar sekolah, saya tidak mampu untuk membahagi masa,” katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp