No Image Caption

Mahasiswa UPSI kongsi pengalaman berharga mengajar di Indonesia

06 Sep 2023 03:32pm



‘Jauh perjalanan, luas pemandangan.' Itu antara ungkapan hikmah yang sering dituturkan orang-orang tua.

Ada benarnya apa yang dikatakan kerana setiap persinggahan ke tempat baharu sering kali membuka mata kita mengenai perkara lebih menarik termasuk pendidikan, kebudayaan dan adat resam.

Justeru, ia sudah pasti dapat memberi pengaruh terhadap idea dan wawasan lebih menarik.

Baru-baru ini, seorang mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Muhammad Fatkhurrozak Sokhipul Hadi berkongsi pengalamannya yang terpilih menjalani latihan mengajar di Indonesia pada September 2023.

No Image Caption



Selain beliau, 45 rakan seuniversitinya juga turut mengikuti latihan mengajar di sana dan mereka dipecahkan kepada dua lokasi iaitu 33 mahasiswa ditempatkan ke Kota Yogyakarta manakala 13 penuntut lagi ke Kota Semarang.

Menurut Muhammad Fatkhurrozak, kembaranya ke Indonesia sememangnya memberi rasa teruja dan sedikit rasa takut pada peringkat permulaan.

Namun demi menyokong aspirasi Kementerian Pelajaran (KPM) dan UPSI yang ingin melahirkan guru holistik serta berdaya saing serta membawa nama baik Malaysia di peringkat antarabangsa, dia sanggup mencabar diri.

Artikel Berkaitan:


Cabaran

Berpeluang memberikan sentuhan didikan yang lebih halus, Muhammad Fakhurrozak berkata, dia bersama tiga orang rakannya diberi kesempatan untuk berkhidmat di Sekolah Luar Biasa Yapenas iaitu sekolah untuk murid berkeperluan pendidikan khas.

Mengakui tidak mudah, komunikasi bahasa menjadi kesukaran pada mulanya memandangkan perlu mengajar murid yang mempunyai masalah pendengaran dan pertuturan.

Justeru, ia secara tidak langsung mengajar Muhammad Fatkhurrozak untuk berfikir dengan lebih luas bagi mencari jalan penyelesaian dan cepat beradaptasi dengan budaya baharu.

No Image Caption



Kurikulum yang berbeza

Menerusi pengalaman tersebut, beliau mendapati sistem pendidikan Indonesia menggunakan Kurikulum Merdeka yang mana ia menggalakkan guru untuk bebas membawa isi pengajaran agar murid secara optimum mempunyai masa mencukupi bagi memahami pembelajaran.

“Sedangkan di Malaysia, guru perlu menjadikan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) sebagai rujukan utama di mana pengisian kurikulum jelas mengikut keperluan setiap subjek serta membolehkan guru menjalani pembelajaran berdasarkan standard kandungan dan pembelajaran yang telah dijalankan.

“Setelah perbincangan bersama, kami semua mempunyai keyakinan yang tinggi bahawa pemikiran kreatif sangat diperlukan untuk memenuhi keperluan kedua-dua kurikulum.

“Kami sepakat ingin lebih mendalami tentang kurikulum yang digunakan di Indonesia serta tidak lupa untuk memasukkan elemen pendidikan Malaysia ke dalam Pengajaran dan Pembelajaran (PdP),” ujarnya.

Muhammad Fakhurrozak dan rakan-rakannya membawa sentuhan pembelajaran dari Malaysia yang berkonsepkan Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM).

Apa yang menarik perhatiannya adalah budaya pendidikan dalam kalangan masyarakat di sana yang membawa murid untuk bereksplorasi dengan aktiviti menarik termasuk pembuatan batik, penternakan ikan keli, pembuatan gula-gula dan kraftangan serta seni tari yang menjadi norma budaya masyarakat Yogyakarta umumnya.

Yogyakarta syurga makanan

Memberi coretan lebih mendalam tentang Yogyakarta sudah pasti tidak terlepas daripada membicarakan tentang keunikan makanan di tempat tersebut.

“Makanan adalah wajah keberagaman budaya dan warna dalam masyarakat dan saya tidak melepaskan peluang untuk menikmati kelazatan dalam setiap makanan yang terkenal dengan bumbu dan pelbagai rempah sehingga setiap suapan mempunyai memori yang indah.

“Gudeg, sate klathak, tongseng kambing, mi gacoan, berongkos, bakmi, batagor, bakpia dan wedang ronde menjadi kesempurnaan dalam pengembaraan kami di Yogyakarta.

No Image Caption



“Penikmat kopi asli juga tidak menemukan seleranya apabila mereka sudah merasai sendiri aromanya yang dibuat dari bijian asli nusantara,” katanya.

Jelas beliau, keindahan Yogyakarta turut dihiasi dengan tempat menarik yang ada termasuk Gurung Merapi, Pantai Timang, Parangtritis, Borobudur, Prambanan, Sungai Mudal.

Kota rindu

“Selalu ada yang tersisa dari Jogja untukmu” adalah kata-kata yang paling benar untuk menggambarkan kerinduan mereka di kota mahasiswa tersebut.

Jelasnya, sikap sopan santun masyarakat di sana mengajar mereka untuk sentiasa menjadi orang yang rendah diri, sentiasa bersyukur dan menikmati hidup dengan apa yang telah diberikan tuhan.

“Sebagai hadiah sebelum pulang, kami menampilkan beberapa persembahan yang menggambarkan kesenian dan kebudayaan negara Malaysia, antaranya dikir barat, tarian kipas dan seni silat.

“Saya ingin berterima kasih kepada pengurusan universiti yang terlibat secara langsung dan tidak langsung terutamanya kepada Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff dalam menjayakan Program Mobiliti Latihan Mengajar Antarbangsa (Outbound) ke Indonesia.

“Jutaan terima kasih juga kepada pihak PULAMI, WEZAS, Fakulti Pembangunan Manusia, Yayasan Pelajaran Johor serta keluarga yang menjadi sentiasa membantu dari segi kewangan dan lain-lain,” ujarnya dengan menambah penghargaan turut diberikan kepada pihak Universitas Negeri Yogyakarta dan Sekolah Yapenas yang terlibat dalam menyediakan fasiliti lengkap dan banyak membantu mereka sepanjang keberadaan di sana.

Akhir sekali, Muhammad Fatkhurrozak mengharapkan agar program bermanfaat sedemikian akan terus diadakan demi menyokong hasrat Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan KPM yang mahu melahirkan mahasiswa dan guru holistik yang mempunyai kredibiliti tinggi sekali gus mampu menjadi tunjang dalam kejayaan Malaysia di persada dunia.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp