Cikgu Narimah akan berkhidmat sebagai guru tadika hingga ke hujung nyawa.
Cikgu Narimah akan berkhidmat sebagai guru tadika hingga ke hujung nyawa.

Narimah pilih kerjaya cikgu tadika kerana sayangkan kanak-kanak

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
18 May 2023 04:40pm

Guru tadika merupakan antara guru yang banyak berkorban masa, jiwa dan raga dalam mendidik anak-anak murid agar menjadi manusia yang berguna.

Walaupun mungkin ada dalam kalangan kita yang seakan melupakan jasa mereka, namun ingatlah yang guru-guru tadika ini adalah ‘cikgu pertama’ di sekolah sewaktu kita kecil.

Bersempena Hari Guru 2023, Sinar Bestari ingin tampilkan satu perkongsian menarik tentang perjalanan hidup seorang wanita bergelar guru tadika.

Biarpun beliau memiliki kelayakan akademik peringkat sarjana muda dan sarjana, namun minat untuk menjadi guru tadika telah mengatasi segala-galanya.

Narimah Badau yang kini memegang jawatan sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan, Pusat Kecemerlangan Penyelidikan Keluarga, Remaja dan Kanak-Kanak (FACE), Universiti Putra Malaysia (UPM) atau bahasa mudahnya Guru Tadika berkata, kerjaya sebagai cikgu tadika sudah menjadi minatnya sejak kecil lagi.

“Saya suka kanak-kanak dan atas sebab itu, saya memilih menjadi guru tadika.

“Hanya satu impian sahaja yang saya ingin gapai iaitu mahu mendidik kanak-kanak dalam bidang akademik dengan sebaik mungkin dan membantu mereka mendapatkan pelbagai kemahiran sosial, kemahiran sensori-motor dan sebagainya,” ujar guru yang berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan, ini.

Cikgu Narimah
Cikgu Narimah

Artikel Berkaitan:

Selain menjadi guru tadika, Cikgu Narimah berkata, satu ketika dulu, dia pernah memasang impian untuk menjadi seorang doktor.

Bagaimanapun, cita-cita itu terpaksa dilupakan kerana keluarganya tidak mampu menanggung perbelanjaan pengajian.

Atas sebab itu, Cikgu Naimah meneruskan cita-citanya menjadi guru tadika dan berharap ada dalam kalangan anak-anak muridnya mampu bergelar doktor kelak.

Sementara itu, menjadi guru tadika mungkin tidak ‘gah’ seperti cikgu di sekolah rendah dan menengah.

“Guru tadika berperanan penting dalam memberikan pendidikan awal dan tiada sebab seseorang itu perlu berasa malu dengan kerjaya tersebut.

"Sebenarnya, tugas guru tadika tetap mempunyai cabaran tersendiri sama seperti guru-guru lain.

“Misalnya, seawal usia empat tahun lagi kami telah membimbing anak-anak didik untuk mengawal emosi dan tingkah laku serta membimbing mereka menulis dan membaca, meskipun ada yang tidak pandai memegang pensel,” ujarnya.

Dalam pada itu, Cikgu Narimah memberitahu, sebagai guru tadika mereka adalah insan pertama yang melihat perkembangan kanak-kanak.

“Ia adalah sebuah perasaan yang sangat gembira walaupun kerjaya ini sangat penat kerana perlu melayan pelbagai karenah emosi kanak-kanak yang tidak dapat dijangka setiap hari.

No Image Caption

“Walaupun terpaksa berdepan bermacam-macam cabaran, namun sebagai guru, saya cukup puas dapat melihat sendiri perkembangan awal mereka.

“Paling menggembirakan apabila mampu melihat pencapaian cemerlang mereka walaupun ia berbeza mengikut tahap penguasaan masing-masing,” ujarnya yang sudah berkhidmat selama 25 tahun sebagai guru tadika.

Akhir sekali, Cikgu Narimah sempat menitipkan sedikit pesanan kepada para guru tadika di luar sana agar sentiasa bersabar, cekal dan tabah sepanjang bergelar cikgu di tadika masing-masing.

“Saya masih ingat, pada tahun 1999, saya telah memberi surat perletakan jawatan kerana tidak mampu menguruskan kanak-kanak berumur enam tahun dan ke bawah.

“Namun saya sedar, keputusan itu merugikan diri kerana saya sayangkan kanak-kanak.

“Justeru, saya ubah keputusan dan kembali bergelar guru tadika di FACE dan tekad akan terus mendidik mereka hingga ke hujung nyawa,” ujarnya.

Kasih sayang Cikgu Narimah kepada kanak-kanak tiada tolak bandingannya.
Kasih sayang Cikgu Narimah kepada kanak-kanak tiada tolak bandingannya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp