Walaupun serba kekurangan, Awang Aiman berjaya buktikan yang dia mampu meraih straight A dalam SPM.
Walaupun serba kekurangan, Awang Aiman berjaya buktikan yang dia mampu meraih straight A dalam SPM.

Pelajar Sarawak lalui perjalanan sukar sebelum raih straight A SPM - ‘Tabahnya kamu, Awang’

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
15 Jun 2023 02:05pm

“Kadang saya tiada wang untuk beli alat tulis dan buku-buku. Nasib baik ada duit Program Bantuan Untuk Pendidikan (BUDI) dari Majlis Amanah Rakyat (MARA). Sekurang-kurangnya, wang saku RM50 sebulan yang MARA beri, dapat saya gunakan untuk keperluan pengajian.”

Demikian perkongsian Kaunselor MARA, Dr Zulkifli Hussain, mengenai perjalanan hidup pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Awang Aiman Safwan menerusi laman Facebooknya baru-baru ini.

Ujar beliau, Awang Aiman Safwan merupakan pelajar BUDI dari Sarawak yang meraih keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019 dan berjaya melanjutkan pengajian di Pusat Asasi Universiti Malaya (UM).

“Apa yang saya ingin kongsikan ini, bukan sekadar kisah Awang sahaja, tetapi juga kejayaan barisan pelajar BUDI di Sarawak yang cemerlang dalam pelajaran masing-masing,” katanya.

Mari ikuti kisah Awang dan rakan-rakan MRSM yang lain seperti dikongsi Dr Zulkifli ini.

*****

Rasanya saya belum berkongsi tentang pelajar BUDI dari Borneokan?

Kali ini saya kongsi kisah Awang Aiman Safwan yang telah berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam SPM.

Artikel Berkaitan:

Jumlah pelajar BUDI dari Sarawak ini ramai sebenarnya.

Guru-guru dan Pegawai MARA di Borneo, saya memang kagum dan tabik spring!

Sebab? Proses siasatan dan lawatan ke rumah pelajar memang mencabar.

Seperti sedia maklum, pencalonan BUDI memerlukan kami untuk pergi ke rumah-rumah pelajar. Bentuk muka bumi di Borneo memang menguji para pegawai.

Bayangkan mereka mengambil masa selama lapan jam perjalanan untuk masuk ke kampung-kampung kecil untuk melaksanakan siasatan.

Semua ini mereka laksanakan bagi memastikan tiada anak-anak Borneo tercicir daripada mendapat pendidikan terbaik di MRSM.

Pernah sekali, tahun 2018, semasa saya laksanakan kajian pengesanan dan penempatan pelajar lepasan MRSM ke institut pengajian tinggi (IPT) selepas SPM.

Semasa analisis, saya dapati ada seorang pelajar BUDI MRSM Kuching, tidak mendapat penempatan ke IPT.

Keputusan peperiksaan pelajar ini sepatutnya melayakkannya untuk dia ke IPT. Pelajar MRSM 100 peratus akan dapat ke IPT selepas SPM.

Kalau tidak dapat, kita akan tolong dan bantu pelajar untuk dapat tawaran. Ada sesuatu yang tidak kena kalau pelajar ini tidak mendapat tawaran.

Kemudian, saya dapatkan nombor telefon pelajar tersebut dan cuba hubunginya. Berkali-kali saya cuba hubungi, tapi gagal. Saya betul-betul hendak cepat. Saya semak jarak antara rumah pelajar dengan MRSM atau pejabat MARA daerah. Jauh. Memang jauh dan akan ambil masa untuk pergi ke rumah pelajar tersebut.

Jadi, saya buat apa?

Saya telefon balai polis terdekat untuk cari pelajar ini. Saya berikan pesanan melalui polis untuk pelajar berkenaan hubungi saya semula.

Esoknya, saya dapat panggilan daripada pelajar tersebut. Lega. Kata dia, talian telefon kurang baik dikampungnya.

Ujarnya lagi, dia kerja di stesen minyak. Terus saya bagi motivasi percuma dalam telefon. Alhamdulillah pelajar ini dengar cakap. Terus kami bantu penempatan di IPT. Selesai.

Jadi, nak ceritanya, mencabar. Sebab itu, kami faham kalau borang pencalonan BUDI dari Borneo akan dihantar lewat berbanding Semenanjung. Sebab bentuk muka bumi di sana berbeza. Cabarannya berbeza.

Berbalik cerita Awang. Saya pernah berjumpa dengan pelajar ini untuk Kajian Penilaian Outcome. Saya ambil pelajar ini dari UM ke ibu pejabat MARA untuk tujuan pengambaran video.

Awang adalah penerima BUDI - Petronas. Program BUDI adalah kerjasama antara MARA dan Petronas selama lima tahun. Setiap tahun Petronas akan menaja seramai 300 pelajar BUDI di Sabah dan Sarawak. Awang adalah salah seorang.

Walaupun datang daripada latar belakang keluarga yang kurang berkemampuan terutamanya dari segi ekonomi, tetapi Awang mampu memperoleh semua A, SPM 2019. Pencapaian ini melayakkannya mendapat tawaran ke Pusat Asasi, UM.

Ayat Awang yang saya masih ingat:

“Kadang saya tiada wang untuk beli alat tulis dan buku-buku. Nasib baik saya ada wang BUDI MARA. Saya jimat-jimat dengan duit tersebut untuk beli segala keperluan. Wang saku RM50 sebulan yang MARA bagi saya guna sebaik mungkin”

Semasa keputusan peperiksaan, Pengarah MARA Negeri tanya Awang, agak-agak awak dapat berapa A?

Awang balas: “Saya tidak pasti tuan”.

Akhirnya, dia tidak menyangka yang diri akan dapat keputusan seperti itu. Awang peluk mak dan ayahnya tanda kegembiraan. Alhamdulillah!

Teruskan perjuanganmu Awang. Buktikan bahawa anak BUDI dari Sarawak juga boleh mencipta kejayaan.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp