Barisan finalis RISE Educator Award menerima hadiah tajaan bernilai RM10,000 untuk sekolah masing-masing. Turut serta, Zainal (enam dari kiri) dan Josephine (lima dari kiri).
Barisan finalis RISE Educator Award menerima hadiah tajaan bernilai RM10,000 untuk sekolah masing-masing. Turut serta, Zainal (enam dari kiri) dan Josephine (lima dari kiri).

Pengorbanan 2 guru berbaloi apabila diumumkan penerima anugerah berprestij anjuran Taylor’s College

03 Jul 2023 11:28pm
A
A
A

RISE Educator Award anjuran Taylor’s College dan sayap penglibatan pelajarnya, The Risers mengumumkan pemenang bagi dua kategori iaitu RISE Educator of the Year dan RISE Educator Award di kampus Taylor’s Lakeside, Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.

Taylor’s College dalam kenyataan medianya memaklumkan, RISE (atau nama lengkapnya Remarkable Impact in Student Education) Educator Award yang kini di tahun ketiga bertujuan meraikan golongan pendidik negara ini yang berjaya merubah kehidupan pelajar secara memperkasa dan menyokong mereka dalam memperoleh pendidikan yang berkualiti.

“Lima finalis telah dipilih daripada lebih 200 kisah penuh inspirasi dan sebagai pengiktirafan terhadap usaha mereka untuk memastikan keterangkuman dan ekuiti semua pelajar, Taylor’s College menganugerahkan RM10,000 setiap satu kepada sekolah finalis.

“Para finalis yang bertuah ini dan barisan pencalon mereka datang daripada pelbagai negeri di seluruh Malaysia termasuk Selangor, Kedah, Kelantan dan Sabah,” kata kenyataan tersebut.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Sumber Dan Teknologi Pendidikan, Kementerian Pendidikan (KPM), Zainal Abas memuji usaha Taylor’s College kerana mengiktiraf peranan tidak ternilai para guru dan kepentingan pendidikan inklusif untuk semua menerusi RISE Educator Award.

“Dengan mengguna pakai kuasa teknologi untuk perubahan positif, ia menunjukkan komitmen kita demi melengkapkan pelajar dengan alatan dan kemahiran yang diperlukan untuk berjaya.

“Melalui usaha kolektif sedemikian, kita boleh mencipta masa depan di mana setiap pelajar diperkasakan dan pendidikan menjadi kuasa transformatif,” ujarnya ketika merasmikan majlis tersebut baru-baru ini.

Dua guru terima anugerah

Artikel Berkaitan:

Guru Keperluan Khas, Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional (SMPKV) Merbok, Kedah, Cikgu Kumaresan Muniandy dipilih sebagai penerima anugerah kategori RISE Educator of the Year 2023.

Kisah penuh inspirasi guru ini yang memberikan latihan vokasional kepada pelajar keperluan khas demi memastikan peralihan lancar mereka ke tenaga kerja, menggamit jiwa panel hakim anugerah yang turut terdiri pemenang RISE Educator of the Year 2022 iaitu Cikgu Hazeem Azemi dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Krau, Pahang.

“Pengembaraan ini bermula sebagai maklum balas kepada kebimbangan seorang ibu iaitu kemahuan untuk membantu peralihan pelajar saya ke dalam tenaga kerja.

“Bekerja dengan individual muda yang luar biasa ini telah mengajar mereka kemahiran keusahawanan dan menyemai keyakinan bagi menyokong diri sendiri adalah cukup istimewa.

“Saya berbesar hati menerima anugerah berkenaan dan berasa rendah diri apabila para hakim tersentuh dengan usaha-usaha yang telah dimulakan. Saya akan terus menyokong anak-anak keperluan khas dan memastikan mereka dihargai dan dinilai atas bakat unik yang dimiliki,” tutur Cikgu Kumaresan.

Cikgu Kumaresan (dua dari kanan) dipilih sebagai penerima anugerah kategori RISE Educator of the Year 2023. Turut meraikan kejayaan beliau adalah, Zainal (tiga dari kanan), Josephine (dua dari kiri), Cikgu Rabthath (kiri) dan Cikgu Hazeem (kanan).
Cikgu Kumaresan (dua dari kanan) dipilih sebagai penerima anugerah kategori RISE Educator of the Year 2023. Turut meraikan kejayaan beliau adalah, Zainal (tiga dari kanan), Josephine (dua dari kiri), Cikgu Rabthath (kiri) dan Cikgu Hazeem (kanan).

Cikgu Kumaresan memulakan Hello School to Work pada 2018 untuk melengkapkan anak-anak keperluan khas dengan latihan vokasional bagi memastikan peralihan lancar ke dalam tenaga kerja.

Berkolaborasi dengan ibu bapa yang memberi sokongan dan rakan-rakan industri, projek ini telah berjaya melatih dan menjamin penggajian bagi 20 pelajar setakat ini.

Pada tahun yang sama, beliau melancarkan Projek School Enterprise Kedai Dobi OKU untuk memupuk kemahiran keusahawanan dengan pelajar dilatih mengendalikan perniagaan dobi mereka sendiri.

Dua pelajar dari inisiatif ini kini bekerja di koperasi sekolah, bukti kepada komitmen tidak berbelah bahagi Cikgu Kumaresan untuk memperkasa pelajar kurang upaya ke arah mampu menyara diri sendiri.

Rabthah Abd Rahim, individu yang mencalonkan kisah Cikgu Kumaresan memberitahu, guru tersebut telah mengajar anak-anak keperluan khas selama 13 tahun dan kasih beliau kepada para pelajar terus mendorongnya untuk memastikan mereka memperoleh penggajian bermakna.

“Usaha tanpa kenal penat lelah Cikgu Kumaresan untuk memperkasa pelajar keperluan khas cukup mengagumkan.

“Saya mencalonkannya kerana beliau terus berusaha mewujudkan peluang bagi para pelajar, melengkapkan mereka dengan kemahiran yang diperlukan bagi membuka pintu peluang penggajian selepas anak-anak didik ini tamat belajar kelak,” ujar Cikgu Rabthath yang merupakan Pengetua SMPKV Merbok dan turut berkongsi penghargaan terhadap tajaan RM10,000 dari Taylor’s College, di mana ia akan menyumbang kepada inisiatif berterusan untuk memperkasa pelajar kurang upaya dalam langkah mereka ke arah mampu menyara diri sendiri.

Sambung Cikgu Rabthath, kesungguhan Cikgu Kumaresan melangkaui bilik darjahnya sendiri, bersedia berkongsi pengalaman dan pengetahuan dengan guru-guru Pendidikan Khas lain, membolehkan cikgu lain melakukan perkara serupa, sekali gus membuktikan kepercayaan beliau di dalam impak kolektif yang boleh dilakukan ke atas kehidupan para pelajar istimewa.

Sementara itu, Pengarah Kampus Taylor’s College, Josephine Tan berkata, di Taylor’s College, mereka percaya bahawa ia merupakan tanggungjawab bersama untuk memastikan setiap kanak-kanak, tanpa mengira latar belakang atau keadaan mereka, memiliki peluang saksama untuk belajar, membesar dan berjaya.

“Usaha terpuji Cikgu Kumaresan adalah menjadi peringatan yang guru mempunyai kuasa dan pengaruh untuk membentuk masa depan pendidikan.

“Di sebalik tajaan yang diberikan kepada kelima-lima sekolah, kami berharap ia dapat memberikan sokongan berterusan untuk menyemarakkan aspirasi mereka dalam menawarkan pendidikan untuk semua,” jelas beliau.

Dalam perkembangan sama, Dr Velerie Wheelervon Primus, seorang guru Pendidikan Khas dari Sekolah Kebangsaan Bingkor, Keningau, Sabah turut dipilih sebagai penerima anugerah kategori RISE Educator Award anjuran Taylor’s University.

Beliau merupakan Ikon Kebudayaan Negeri Sabah yang begitu meminati seni persembahan.

Dr Velerie (tengah) diumum sebagai penerima anugerah RISE Educator Award 2023.
Dr Velerie (tengah) diumum sebagai penerima anugerah RISE Educator Award 2023.

Dr Velerie turut aktif di dalam penghasilan Model Pendidikan Khas dan komited mendidik pelajar terutama pelajar keperluan khas di kawasan pedalaman Sabah.

Beliau dipilih menerusi undi popular pada laman Facebook Taylor’s College dan memenangi wang tunai RM2,000.

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web Taylor’s College DISINI.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok