PLKN relevan sepanjang masa
Membangun semangat perpaduan dan patriotisme generasi muda
Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang dimansuhkan pada tahun 2018, bakal dilaksanakan kembali menerusi dua fasa.
Fasa 1 melibatkan pelajar Tingkatan Empat melalui silibus Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Fasa 2 selepas fasa persekolahan iaitu pasca Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Menurut Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan, PLKN 3.0 itu mungkin dilaksanakan bermula tahun 2025 memandangkan perkara itu tidak dimasukkan dalam Belanjawan 2024.
Kata beliau, bagaimanapun sejumlah 13 kem askar wataniah di seluruh negara yang dicadangkan sebagai lokasi PLKN perlu terlebih dahulu melalui proses naik taraf bagi tujuan itu.
Namun timbul pula beberapa persoalan daripada orang ramai mengenai penganjuran aktiviti itu.
Ada yang mempersoalkan kepentingan PLKN 3.0 kepada para pelajar. Tidak kurang juga yang mahukan jawapan bagaimana pelaksanaannya mampu memupuk semangat perpaduan dan patriotisme dalam kalangan pelatih.
Sinar Bestari menemu bual Pensyarah Kanan, Unit Pendidikan, Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Hayati Ismail bagi merungkai tanda tanya masyarakat mengenai PLKN.
Menurut Hayati, PLKN merupakan program yang sangat relevan dalam memupuk semangat perpaduan dan jati diri warganegara terutama remaja lepasan sekolah.
Katanya, program itu mampu memupuk disiplin dan menjauhkan golongan belia daripada gejala sosial serta menanam sikap tanggungjawab kepada negara dalam satu ekosistem masyarakat berbilang kaum dan budaya.
“Dalam PLKN, pelatih daripada pelbagai kumpulan etnik bekerjasama menerusi pelbagai aktiviti. Ia mampu meruntuhkan sifat perkauman sekali gus memberi peluang peserta memahami dan bertoleransi di antara satu sama lain.
“PLKN juga dapat membangunkan kemahiran dan pengalaman yang amat bermakna bagi pembentukan sahsiah serta kerjaya para peserta,” ujarnya.
Kongsi Hayati, kajian oleh National University of Singapore pada tahun 2013, menunjukkan bekas pelatih lebih berpuas hati dengan hidup mereka dan hubungan antara satu sama lain berbanding individu yang tidak menyertai latihan khidmat negara.
Begitu juga dengan kajian Korea Institute for Youth Development pada tahun 2014, peserta khidmat negara didapati lebih aktif dengan aktiviti kemasyarakatan dan lebih peka dengan isu sosial.
“Dalam konteks masyarakat berbilang kaum, budaya, agama dan bahasa seperti Malaysia, PLKN membina pengalaman serta jati diri peserta.
“Penyertaan dalam aktiviti lasak bukan sahaja membina kekuatan diri secara fizikal, malah memupuk kesihatan mental dan kekuatan emosi.
“Modul yang dilaksanakan dalam PLKN seperti Fizikal, Kenegaraan, Pembinaan Karakter dan Khidmat Komuniti membantu mengukuhkan pembangunan sahsiah peserta.
“Elemen kerja sepasukan tanpa mengira bangsa dan latar belakang adalah peluang berharga yang sukar diperoleh dalam konteks kehidupan sebenar,” ujarnya.
Justeru, Hayati menasihatkan kepada pelajar terpilih dalam PLKN 3.0 nanti untuk mengambil peluang meneroka dan mencuba perkara baharu dalam program terbabit.
“Inilah masanya berinteraksi dan hidup berkumpulan,” jelasnya.
Platform penyatuan bangsa
Pengarah Pusat Kokurikulum Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Madya Dr Mazuki Mohd Yasim berkata, PLKN tetap relevan kerana ia platform penyatuan bangsa Malaysia.
“Penyatuan belia di kem-kem wataniah yang mewajibkan semua peserta dengan penekanan tinggi terhadap modul ketenteraan dan kenegaraan, membolehkan mereka menyelami kepentingan menjaga kedaulatan negara.
“Ia secara tidak langsung mewujudkan kesedaran masyarakat yang bersiap siaga dengan ilmu ketenteraan, kemahiran penggunaan senjata dan berdisiplin serta cintakan tanah air,” jelasnya.
Mazuki yang juga pensyarah di Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan UPSI berkata, mana-mana pelajar tersenarai mengikuti PLKN kelak, perlu merebut peluang itu sebagai usaha merobohkan benteng revolusi internet serta gajet yang memisahkan minda belia secara maya.
“Penggunaan gajet secara meluas oleh belia menyebabkan mereka kurang bersosial secara nyata menyebabkan nilai-nilai positif yang membentuk karakter sebagai anak Malaysia mula terhakis,” ujarnya yang pernah menghasilkan modul PLKN 1.0 sebelum ini.
MENGENAI PLKN
Program kenegaraan yang dijalankan setiap tahun (2004 - 2018) di mana mereka yang terpilih, mengikuti kursus selama tiga bulan di pusat PLKN seluruh negara.
Pada 16 Februari 2004, PLKN dilancarkan dengan penglibatan 26,000 remaja sebagai peserta siri pertama diikuti 59,000 lagi sebagai kumpulan kedua dan ketiga yang masing-masing memulakan latihan pada Mac dan April.
Lima objektif iaitu meningkatkan semangat cintakan negara, memupuk perpaduan kaum, menerapkan diri dengan nilai-nilai murni, meningkatkan semangat kesukarelaan dan melahirkan generasi muda yang cergas, cerdas serta berkeyakinan tinggi.
Pelatih didedahkan dengan empat modul iaitu Fizikal, Kenegaraan, Pembinaan Karakter dan Khidmat Komuniti yang bermatlamat memperkasa jati diri generasi baharu Malaysia.
PLKN 3.0 yang terbaharu akan dilaksanakan semula, namun tempohnya dipendekkan kepada 45 hari.
Menariknya, ia diperbaharui dengan modul kombinasi iaitu 90 peratus latihan ala ketenteraan dan 10 peratus modul kenegaraan.
PLKN 3.0 akan dilaksanakan di kem-kem latihan kerajaan seperti Kem Latihan Polis Diraja Malaysia dan 13 Kem Wataniah Angkatan Tentera Malaysia.