Kumpulan pakar bagi program pemindahan ilmu bersama-sama sebahagian komuniti Kampung Kuyungon yang mengikuti program tersebut baru-baru ini.
Kumpulan pakar bagi program pemindahan ilmu bersama-sama sebahagian komuniti Kampung Kuyungon yang mengikuti program tersebut baru-baru ini.

Program pemindahan ilmu bantu komuniti Kampung Kuyungon prihatin keterjaminan dan keselamatan makanan

ROSHLAWATY MD RAIEH
29 Sep 2023 05:49pm
A
A
A

Kampung Kuyungon yang terletak di hujung pedalaman Tambunan, Sabah merupakan destinasi menghidupkan warisan budaya dan alam semula jadi yang indah.

Walaupun kaya dengan budaya dan tradisi, namun kesedaran akan keselamatan makanan dalam komuniti tersebut adalah kunci sebenar kepada kehidupan yang lebih sihat.

Dalam usaha untuk meningkatkan kesedaran tersebut, satu program pemindahan ilmu di Kampung Kuyungon telah diadakan baru-baru ini, khusus kepada komuniti di sana.

Program pemindahan ilmu itu melibatkan sekumpulan pakar yang terdiri daripada wakil dari syarikat baja organik, Tumparak Sdn Bhd merangkap Ketua Projek Pemindahan Ilmu, Inv Nathaniel Maikol; Pensyarah Kolej Geomatika Keningau, Sabah, Dr Shafinah Kamarudin serta Pegawai Pusat Hubungan dan Jaringan Industri CiRNeT Universiti Putra Malaysia (UPM), Mohamad Zaki Mohamad Saad.

Mereka turut dibantu tiga wakil Tumparak Sdn Bhd iaitu Erny Nicholas, Inv Nur Hafizatun dan Oswald V Iking.

Menurut Nathaniel, program pemindahan ilmu berkenaan telah menerima sokongan kewangan daripada All-Party Parliamentary Group Malaysia (APPGM) Parliament of Malaysia yang telah menyumbang dana untuk menjayakan program itu.

“Dana ini telah membolehkan pelaksanaan program pemindahan ilmu keselamatan makanan dilakukan secara menyeluruh kepada penduduk kampung.

Artikel Berkaitan:

“Menerusi program ini, besar harapan kami agar ia mampu membantu komuniti memahami pentingnya mencipta keselamatan makanan dalam kehidupan seharian,” ujarnya

Selain Nathaniel yang berkongsi segala ilmu yang ada, dua pakar lagi iaitu Shafinah dan Mohamad Zaki telah berkongsi ilmu dan pengalaman mereka dalam bidang pertanian serta jaringan industri dan komuniti.

Sementara itu, Ketua Kampung Kuyungon, Julius Guringki menggambarkan inisiatif ini sebagai langkah penting dalam meningkatkan kesedaran berkenaan dengan keterjaminan dan keselamatan makanan dalam komuniti mereka.

Beliau berharap bahawa pemindahan ilmu ini akan memberi kesan positif kepada penduduk kampung sekali gus membantu mereka menjaga kesihatan keluarga dengan lebih baik dan meminimakan risiko penyakit berkaitan makanan.

Akhir sekali, inisiatif kolaboratif ini adalah contoh yang jelas tentang bagaimana pakar-pakar, industri, komuniti tempatan dan organisasi seperti APPGM-SDG boleh bekerjasama dalam mencapai matlamat pembangunan mampan.

Diharapkan usaha sedemikian akan terus berkembang di seluruh negara untuk memastikan keselamatan makanan sentiasa diberi keutamaan dalam agenda pembangunan negara.

Melalui pemindahan ilmu dan kerjasama berterusan, masyarakat boleh membentuk masa depan yang lebih selamat dan berkualiti untuk generasi akan datang.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok