Galak budaya inovasi dalam kalangan pelajar
Galak budaya inovasi dalam kalangan pelajar

Galak budaya inovasi dalam kalangan pelajar

Roshlawaty Md Raieh
23 Jun 2022 05:06pm
A
A
A

Budaya inovasi perlu diterapkan dalam kalangan pelajar agar negara terus mempunyai pelbagai produk berkualiti yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat dan alam sekitar.

Inovasi menurut pandangan barisan penyelidik bermaksud kaedah mencari jalan untuk menghasilkan produk atau perkhidmatan yang lebih baik sama ada melalui pengubahsuaian atau penambahbaikan.

Ia adalah hasil cetusan idea-idea yang kreatif dan inovatif dalam mana-mana aspek kerja yang dapat meningkatkan kualiti dan produktiviti organisasi.

Idea-idea ini boleh merangkumi apa-apa perubahan dalam bentuk sistem dan prosedur, kaedah dan cara bekerja mahupun pengenalan teknologi.

Sebagai meneruskan penghasilan inovasi secara konsisten, baru-baru ini, Persatuan Mahasiswa Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA), Universiti Malaysia Sabah (UMS) menganjurkan pertandingan inovasi ‘Global Nature and Human Innovation’ Sesi 2022 (GNHI 1.0) bertemakan Sustainable Development Goals (SDG).

Pengarah GNHI 1.0, Mohd Khairul Hafiz Abdul Halim berkata, program tersebut bertujuan menyediakan platform kepada mahasiswa menunjukkan bakat dan kemampuan dalam mencipta dan merancang perancangan yang sistematik.

Malah katanya, program tersebut membantu mencetuskan idea dan memberikan jalan penyelesaian untuk dipraktikkan dalam kehidupan seharian seiring penjagaan alam semula jadi.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Profesor Madya Dr Raman Noordin pula berkata, penganjuran program seumpama itu menggalakkan para pelajar untuk berfikir secara kreatif dan berusaha mengaplikasikan inovasi dalam kehidupan.

“Pada era globalisasi, dunia korporat ini memerlukan individu-individu yang berfikiran terbuka dan boleh menghasilkan pelbagai idea yang bukan sahaja memberi kemaslahatan kepada industri malah untuk masyarakat, alam sekitar dan sekali gus dunia.

“Oleh itu, amatlah penting bagi pelajar sekarang untuk melibatkan diri dalam program-program tersebut bagi mendapatkan pendedahan dan pengalaman yang tidak ternilai,” katanya dalam ucapan perasmian GNHI 1.0 di Bangunan FSSA UMS, baru-baru ini.

Dalam pada itu, sesi pembentangan inovasi GNHI 1.0 yang diadakan bermula 25 Mei lalu turut mendapat penyertaan dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Pusat Luar UMS (PLUMS) kampus cawangan Sandakan.

Pada pertandingan tersebut, kumpulan Smart Disinfectant-Dispenser Station merangkul johan dengan inovasi pembasmi pintar berasaskan ozon yang dilengkapi dengan pengawal mikro dan penderia.

Manakala naib johan dimenangi oleh kumpulan Seacheez, dan tempat ketiga pula dimenangi kumpulan Invasibe Predatory Machine.

Satu anugerah khas turut diberikan kepada kumpulan Olilife – Waste to Wealth.

Artikel berkaitan 

5 tip penting menghasilkan inovasi untuk pertandingan, ini perkongsian Guru Inovatif Negeri Sembilan 2013

Cikgu Komathy makin selesa dengan bidang inovasi

Komponen kemahiran dalam subjek Sejarah, ini yang pelajar akan dapat


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok