upm-doktor-falsafah
upm-doktor-falsafah

“Ditolak dan terpaksa hantar tesis semula” - Pelajar UPM yang kini bergelar Doktor Falsafah kongsi kisah jatuh bangun ketika belajar

Adlan Farhan AzwanAdlan Farhan Azwan
13 Jan 2022 05:09pm

Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-44 telah menyaksikan pelbagai kisah gembira yang memberi inspirasi kepada semua di luar sana untuk menimba ilmu.

Ada yang menangis gembira setelah berhempas pulas menjalani pengajian.

Malah, detik-detik ketika konvokesyen menjadi lebih bermakna apabila pandemik Covid-19 telah menyebabkan banyak majlis konvokesyen di universiti seluruh negara terpaksa ditunda atau dibatalkan.

Sinar Bestari tertarik dengan satu hantaran yang dibuat oleh Mohamad Suhaizi Suhaimi yang bercerita mengenai perjalanan berliku yang dihadapinya dalam mencapai cita-cita bergelar seorang Doktor Falsafah (PhD).

Mari ikuti perjalanan pengajian Mohamad Suhaizi ini.

*****

ALHAMDULILLAH, SAYA SUDAH KONVO!

Perjalanan PhD saya bukanlah mudah. Hampir diberhentikan dari UPM kerana memperolehi Purata Nilai Gred/ pointer pada Semester 1 bawah 3.00 yang membawa kepada status “Probation”.

Maka, saya perlu ambil tambahan subjek lain pada semester akan datang untuk “perbaiki” pointer saya.

Alhamdulillah, dapat pointer atas 3.00.

Saya juga terlalu yakin dan berani. Saya ingat dapatlah buat dua tahun sahaja PhD. Bukan orang senangkan, kenalah habiskan belajar awal kalau hendak kurangkan membayar yuran pengajian. Pulun punya pulun, dapatlah tarikh Viva dalam masa dua tahun pengajian.

Namun, tidak semuanya indah apabila keputusan saya ialah Tidak Lulus dan kena Viva semula (resubmission).

Mungkin banyak lagi yang perlu saya belajar atau saya belum layak untuk jadikan Disertasi mencapai tahap PhD ketika itu.

Dari segi Metodologi masih lemah, Pernyataan Masalah tidak kuat dan faktor-faktor lain juga. Pelajar pascasiswazah pasti faham.

Saya bangkit semula. Yakin sangat tidak boleh, lemah semangat pun tidak boleh juga. Kena bersederhana. Pulun punya pulun lagi, dapat lagi tarikh Viva dan ringkasnya

“Alhamdulillah…Anda lulus...” merupakan ayat paling menitis air mata untuk pelajar yang menjalani sesi Viva untuk dengari.

- Pelajar kurang cerdik juga boleh berjaya

- Selesaikan PhD tiga tahun pada usia 27 tahun

- Graduate on Time (GOT)

- Membuka mata orang ramai tentang bidang bahasa Melayu juga ada masa depan

Perjalanan PhD saya juga banyak dibantu oleh ramai manusia dan alam semesta. Ewah. Yang bantu dari segi kewangan, doakan senyap-senyap, bagi kata-kata semangat dan banyak lagi. ALLAH sahaja yang mampu balas. Berjuta-juta terima kasih saya ucapkan.

Kini usia dah 30 tahun. Tunggu konvo hampir dua tahun dek PKP binti Covid-19 ini. Saya doakan anda juga kuat dan berjaya untuk capai perkara yang dihajati.

Semoga coretan ini menjadi pembakar semangat kepada yang ingin berjaya dalam bidang masing-masing. Amin.

Saya, Dr Mohamad Suhaizi Suhaimi, sedia untuk berkhidmat kepada masyarakat selagi diizinkan oleh-Nya.

Akhir kata, pihak Sinar Bestari ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada Dr Mohamad Suhaizi yang berjaya mengejar impian dan semoga dimurahkan rezeki untuk berbakti dan menjadi inspirasi kepada masyarakat.

Sumber: Facebook Mohamad Suhaizi Suhaimi

Artikel berkaitan

Proses pendaftaran pelajar baharu UPSI lancar, semua gembira

“Pihak universiti sentiasa menjaga kebajikan orang seperti saya”, graduan OKU penglihatan mata luah rasa bersyukur belajar di UPM

Inspirasi! Ramai yang nak tahu bagaimana pasukan inovasi KV Sungai Petani 2 menang besar di Indonesia. Ini kata pengarahnya…


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp