Tamat pengajian sarjana dalam bidang TESL, Najwa Latif teruja mahu bergelar Doktor
Najwa Latif atau nama sebenarnya, Imratul Najwa Abdul Latif merupakan antara penyanyi yang sudah terbukti berbakat dari segi nyanyian dan bermain alat muzik sehingga pernah menjadi satu fenomena pada satu waktu dulu.
Terkenal dengan lagu berjudul Kosong, Najwa Latif masih tekun dalam perjalanan menimba ilmu untuk memperoleh gelaran doktor falsafah (PhD).
Pada 2017, Najwa Latif menamatkan pengajiannya sebagai graduan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Pengajian Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) di Universiti Antarabangsa Unitar (UNITAR).
Dia kemudiannya meneruskan pengajian ke peringkat sarjana dalam jurusan yang sama di Universiti Malaya (UM).
Najwa Latif yang memegang jawatan sebagai pensyarah di UNITAR sejak 2018 kini menyambung pengajian di peringkat PhD dalam jurusan TESL di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Penyanyi yang pernah berada di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) itu meluahkan keterujaannya di samping bersyukur kerana berpeluang untuk memperoleh gelaran doktor apabila tamat pengajiannya kelak.
Menurutnya, tempoh yang diperuntukkan untuk melengkapkan pengajian di peringkat PhD dijangka tamat dalam masa tiga hingga enam tahun.
“Jauh lagi perjalanan untuk saya dapatkan gelaran itu, namun saya rasa dapat bergelar doktor adalah pencapaian luar biasa untuk saya yang pernah tidak meminati akademik.
“Sekarang, saya lebih fokus untuk menggunakan peluang yang ada ini dengan sebaik mungkin untuk membuat tesis yang bagus,” katanya kepada Harian Metro.
Dalam pada itu, dia juga percaya semakin banyak yang dipelajari, semakin banyak yang kita masih tidak tahu kerana ilmu itu sangat luas dan tidak akan pernah ada penghujung.
“Walaupun sudah habis PhD nanti, saya rasa saya akan terus belajar untuk kepuasan dan memajukan diri sebagai pendidik serta individu.
“Saya bersyukur kerana berpeluang untuk sambung belajar lagi, tetapi ini permulaan baharu untuk terus memperbaiki diri dalam subjek yang sangat saya cintai iaitu TESL,” jelasnya.
Pencapaian Najwa Latif sebagai penyanyi dan dalam masa yang sama bergelar mahasiswa seharusnya dijadikan contoh untuk memberi inspirasi kepada pelajar lain supaya terus berusaha dalam menimba ilmu.
Sumber: Harian Metro
Artikel berkaitan
Bukan mudah jadi pelakon dan pelajar, Sweet Qismina akhirnya berjaya terima ijazah
‘Yah Kuchai’ Kampung Pisang kini lulusan Diploma Bahasa Inggeris UPSI, berhasrat jadi pendidik
Viva PhD lulus di luar negara, bekas peserta AF4 kini pensyarah, menangis gembira