MSU-EMAS-SINARBESTARI-2022
MSU-EMAS-SINARBESTARI-2022

Tiada pengetahuan bidang kewangan, Muhammad Harris kini penerima Anugerah Pingat Emas Canselor MSU

nadzarul.amir
05 Dec 2022 03:28pm
A
A
A

“Saya hampir menitiskan air mata di atas pentas.”

Demikian luahan jujur penerima Anugerah Pingat Emas Canselor, Muhammad Harris Azman pada sidang pertama Majlis Konvokesyen Management & Science University (MSU) ke-30 di Dewan Canselor MSU, Shah Alam, baru-baru ini.

Graduan Sarjana Muda Kewangan (Kepujian) itu, memberitahu, dia sangat terkejut berbaur teruja malah ingin menangis apabila dimaklumkan akan menerima anugerah berkenaan.

“Secara jujur, saya sama sekali tidak menyangka akan menerima anugerah ini.

“Begitupun, saya sangat bersyukur kerana pengorbanan selama ini tidak sia-sia apatah mengenang peringkat awal memulakan pengajian di MSU,” katanya.

Anak ketiga daripada lima beradik itu menjelaskan, dia terpaksa bermula daripada kosong apabila mengikuti pengajian kewangan.

Tuturnya, ia berikutan, dia mengambil kursus diploma dalam bidang Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) dari Kolej Universiti Poly-Tech MARA (KUPTM) sebelum melanjutkan pengajian di MSU.

“Saya terpaksa bermula dari kosong dan ada kala terasa seperti berseorangan dalam perjuangan menuntut ilmu dalam bidang kewangan ini.

“Begitupun, sokongan rakan-rakan, ibu bapa, keluarga dan pensyarah membuatkan saya sentiasa tabah mengharungi rintangan sehingga berjaya meraih kejayaan,” ujarnya kepada Sinar Bestari.

Seramai 2,373 graduan dari 117 program pengajian menerima skrol pada majlis konvokesyen yang berlangsung selama dua hari bermula Sabtu hingga Ahad lalu.

Majlis disempurnakan Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin yang merupakan Canselor MSU.

Hadir sama Presiden MSU, Profesor Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid dan Naib Canselor MSU, Profesor Puan Sri Dr Junainah Abd Hamid.

Muhammad Harris yang berasal dari Kuala Lumpur menambah, dia juga berdepan masalah kewangan pada peringkat awal memulakan pengajian.

“Saya terpaksa mendiamkan perkara tersebut daripada keluarga kerana tidak mahu membebankan dan merisaukan mereka.

“Bagaimanapun, apabila keadaan kewangan kembali pulih, saya memberi tumpuan sepenuhnya kepada pengajian malah dapat melakukan kerja-kerja amal membantu golongan B40, Rohingya serta banyak lagi sepanjang berada di MSU,” ujarnya.

Dia merancang memberi tumpuan kepada kerjaya dalam bidang korporat sekali gus dapat membahagiakan kedua ibu bapa.

Artikel berkaitan

MSUMC terima akreditasi MSQH

Pelajar MSU promosi warisan budaya Malaysia di Uzbekistan, jalin hubungan melalui kebudayaan

MSU buka peluang kerja, lanjutkan pengajian


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok