Latihan industri membuka peluang pekerjaan kepada para graduan.
Latihan industri membuka peluang pekerjaan kepada para graduan.

Latihan industri batu loncatan peluang kerjaya graduan

“Saya nak tukar tempat latihan industri.”Itu merupakan antara rungutan terpacul dari mulut segelintir mahasiswa yang menjalani latihan industri sebaik melapor diri di organisasi-organisasi atau syarikat-syarikat sebagai pelatih industri.

01 Feb 2023 12:08am

“Saya nak tukar tempat latihan industri.”

Itu merupakan antara rungutan terpacul dari mulut segelintir mahasiswa yang menjalani latihan industri sebaik melapor diri di organisasi-organisasi atau syarikat-syarikat sebagai pelatih industri.

Alasan yang diberikan itu kemungkinan satu perkara biasa bagi penuntut kerana baharu merasai pengalaman alam pekerjaan sebenar.

Begitupun, tindakan berkenaan boleh menimbulkan persepsi menjengkelkan dalam kalangan majikan-majikan malah dikhuatiri memberi gambaran negatif terhadap kualiti mahasiswa terbabit.

Sikap ambil mudah seperti itu sedikit sebanyak akan menjejaskan imej institut pengajian tinggi awam (IPTA) kerana gagal mendidik penuntutnya.

Latihan industri atau dikenali juga sebagai latihan praktikal merupakan langkah pertama mahasiswa merasai pengalaman alam pekerjaan.

Peluang ditekankan adalah berkaitan tempoh masa yang diberikan kepada mahasiswa sepanjang proses latihan industri kerana kebanyakan penuntut universiti awam (UA), universiti swasta, politeknik dan kolej kemahiran mengikuti latihan industri dalam tempoh tiga hingga enam bulan.

Graduan perlu bijak rebut peluang

Artikel Berkaitan:

Pensyarah dan Pegawai Perhubungan dan Latihan Industri, Politeknik Muadzam Shah, Pahang, Muhammad Fakhruddin Ahmad berkata, ramai mahasiswa tidak menyedari latihan industri merupakan medan penting untuk membina rangkaian lebih baik dengan pelbagai pihak berkepentingan bagi meningkatkan kadar kebolehpasaran mereka apabila menamatkan pengajian.

“Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Ketika menjalani latihan industri, peluang yang ada mesti dihargai secara telus. Tiada kejayaan tanpa usaha. Tidak dinafikan zaman ini kalau kita tidak berusaha maju kehadapan kita akan ketinggalan.

“Para mahasiswa perlu 'menjual diri' dengan pendekatan yang betul dan memanfaatkan ruang serta peluang bertemu dengan pelbagai pihak apabila menjalani latihan industri.

“Jika pelajar menampilkan imej positif dan diyakini tidak mustahil akan ditawarkan pelbagai peluang termasuk pekerjaan tetap,” katanya.

Muhammad Fakhruddin
Muhammad Fakhruddin

Muhammad Fakhruddin menambah, segelintir mahasiswa beranggapan tempoh latihan industri sekadar pelengkap pengajian dan perlu lulus semata-mata.

Selain itu, dia berkata, menjalani latihan industri tanpa persediaan dan memilih organisasi secara semborono dari awal proses permohonan sudah pasti merugikan mereka.

"Pelajar-pelajar diberi tempoh hampir satu semester untuk membuat persediaan dan pilihan untuk memilih serta memohon organisasi atau syarikat bersesuaian dengan mereka.

“Bagaimanapun, masih terdapat para pelajar yang tidak menggunakan peluang tersebut untuk memohon syarikat yang membuka peluang kepada kerjaya mereka.

“Ramai penuntut yang telah melalui sesi latihan industri menzahirkan pandangan ketidakpuasan hati apabila apa dipelajari mereka tidak begitu berkaitan atau tidak digunapakai di industri,” ujarnya.

Dia memberitahu, persepsi tersebut sama sekali meleset kerana mahasiswa perlu memahami apa yang dipelajari merupakan asas membentuk daya fikir ke arah penyelesaian masalah yang kompleks.

Oleh itu, Muhammad Fakhruddin menjelaskan, ia adalah masa terbaik mahasiswa untuk menilai diri khusus dalam aspek daya fikir, ketahanan mental dan fizikal apabila berdepan dengan masalah yang kritikal serta realiti dunia pekerjaan.

“Tidak keterlaluan jika dikatakan proses di institusi pengajian itu umpama simulasi dan realitinya adalah menerusi dunia pekerjaan sebenar.

Gambar hiasan
Gambar hiasan

“Sepanjang tempoh latihan industri juga pelatih tidak hanya ditempatkan dalam jabatan atau dengan skop pekerjaan yang sama.

“Hal ini kerana pelatih diberi peluang untuk menimba semaksimum mungkin pengalaman sepanjang tempoh latihan kerana status mereka adalah sebagai pelajar latihan industri,” katanya.

Masa depan graduan TVET

Tegasnya, latihan industri atau praktikal adalah peluang terbaik untuk menajamkan daya fikir dalam penyelesaian masalah yang kompleks kerana itulah yang ditekankan dalam setiap program pengajian mereka.

Sebagai contoh, dia memberitahu, politeknik mengetengahkan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang lebih mensasarkan ke arah industri yang memerlukan tenaga kerja terlatih serta berkemahiran tinggi.

“Antara kursus kemahiran TVET yang popular di negara ini adalah seperti perniagaan; keusahawanan dan kewangan Islam; teknologi sistem komputer; teknologi elektrikal; elektronik dan telekomunikasi; mekatronik; Hospitaliti dan banyak lagi.

“Sebanyak 80 peratus pelajar dari politeknik telah memilih industri yang tepat dengan apa disasarkan sebagai tempat menjalani latihan industri,” tuturnya.

Komunikasi kunci utama

Muhammad Fakhruddin menambah, persaingan untuk mendapat pekerjaan adalah tinggi dalam kalangan graduasi IPT di negara ini.

Ujarnya, graduan masa kini bukan sahaja dikehendaki berbekalkan pengetahuan akademik tetapi perlu memiliki kemahiran insaniah termasuk kemahiran berkomunikasi.

“Melalui latihan industri, aspek kemahiran insaniah penuntut akan diuji dan boleh ditambah nilai. Setiap pelajar mempunyai personaliti berbeza, mereka yang aktif dalam pelbagai aktiviti semasa pengajian berupaya untuk memimpin atau mengendali sesuatu projek dengan berkesan.

“Berbeza berbanding para pelajar yang tidak pernah keluar dari tempurung keselesaan, mungkin akan mengambil sedikit masa untuk menyesuaikan diri.

“Begitupun, ia bukanlah noktah bagi pelajar tersebut untuk mengibar bendera putih. Masa dan peluang sentiasa diberikan kepada mereka dan pilihan terletak pada diri sendiri,” ujarnya.

Persaingan untuk mendapat pekerjaan adalah tinggi dalam kalangan graduasi IPT di negara ini
Persaingan untuk mendapat pekerjaan adalah tinggi dalam kalangan graduasi IPT di negara ini

Dia memberitahu, isu penguasaan bahasa Inggeris tidak terkecuali penting dalam komunikasi dunia pekerjaan hari ini.

Katanya lagi, pelatih akan berdepan dengan pelbagai manusia dari peringkat umur dan bangsa sekali gus perlu bersedia membina rangkaian yang lebih baik.

“Sesi latihan industri tidak boleh dipandang ringan atau difikirkan sebagai suatu membebankan atau sebagai pelengkap pengajian semata-mata.

“Peluang menjalani latihan di dunia realiti mesti dihargai dan dimanfaatkan sebagai cerminan untuk menilai kekuatan dan kelemahan diri,” tegasnya.

Muhammad Fakhruddin memberitahu, para pelajar perlu menanam nilai adap dan menghormati orang sekeliling tanpa menghiraukan umur mahupun pangkat.

Dia menambah, jangan sekadar datang ke tempat latihan dan tunggu diberikan kerja tetapi rebut peluang mempelajari sesuatu dan memperbaiki diri.

“Pupuk nilai dan semangat untuk pelajari sesuatu tanpa rungutan kerana sikap positif tersebut dicari bakal majikan.

“You got the ticket! Don't waste it.” tuturnya menutup bicara.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp