Kumpulan peserta yang terlibat dalam agihan sumbangan ke Rumah Anak Yatim Asnaf As-Solihin baru-baru ini.
Kumpulan peserta yang terlibat dalam agihan sumbangan ke Rumah Anak Yatim Asnaf As-Solihin baru-baru ini.

ARCUPM kongsi rezeki dan ilmu bersama warga Rumah Anak Yatim Asnaf As-Solihin

ROSHLAWATY MD RAIEH
19 Apr 2023 05:11pm
A
A
A

Sebanyak RM13,268.30 telah diagihkan kepada Rumah Anak Yatim Asnaf As-Solihin, Kampung Kancong Darat Banting, Kelanang, Selangor, sebagai persediaan sambutan Aidilfitri nanti.

Sumbangan daripada orang ramai itu akan digunakan untuk penggantian kipas siling yang usang, almari pakaian, meja belajar lipat, pakaian raya, penggantian papan tanda rumah dan banyak lagi.

Agihan bantuan kepada anak yatim dan asnaf itu dikelolakan oleh Pusat Perhubungan Alumni UPM (ARCUPM) menerusi program Tautan Mahabbah 7.0.

Pengarah ARCUPM, Profesor Madya Dr Arba’ie Sujud berkata, rombongan ke Rumah Anak Yatim Asnaf As-Solihin ini turut melibatkan mahasiswa dan alumni UPM serta alma mater.

Tambah beliau, penglibatan penuntut UPM dalam program ini secara tidak langsung memberi pendedahan awal dan kesedaran kepada mereka yang khidmat masyarakat sebegini tidak pernah ada pengakhirannya.

“Pendedahan ini adalah untuk membuktikan dan memperlihatkan peranan penuntut yang bakal menjadi alumni kelak sekali gus meneruskan kelangsungan khidmat bakti ini pada masa akan datang.

“Menerusi program ini juga, ia menjadi bukti hubungan dan kesanggupan mahasiswa untuk bersama-sama komuniti sudah pun digerakkan ketika mereka masih berada di alam kampus.

Penghuni Rumah Anak Yatim Asnaf As-Solihin berpeluang menimba ilmu mengenai cara-cara menanam anak pokok bayam Brazil di dalam pasu.
Penghuni Rumah Anak Yatim Asnaf As-Solihin berpeluang menimba ilmu mengenai cara-cara menanam anak pokok bayam Brazil di dalam pasu.

Artikel Berkaitan:

“Seandainya ia dapat diteruskan dan dijadikan satu semangat dalam menyemai rasa ihsan sesama insan, ini akan memperlihatkan mahasiswa UPM mempunyai keupayaan dan kehebatan sebagaimana yang dihasratkan dalam konteks melahirkan masyarakat Madani seperti yang diimpikan negara pada hari ini,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Tautan Mahabbah, Norfarhan Norzaini berkata, program ini membawa sedikit kelainan di mana para peserta yang menyertainya telah berkongsi ilmu tentang cara-cara menanam anak pokok bayam Brazil di dalam pasu.

“Ini adalah kelainan pada program kali ini. Kita tidak hanya menyampaikan sumbangan dalam bentuk kewangan semata-mata tetapi turut mengajar mereka dari Rumah Anak Yatim Asnaf As-Solihin dengan ilmu menanam pokok.

“Dengan perkongsian ilmu ini, sekurang-kurangnya mereka boleh menanam bayam Brazil untuk kegunaan harian sekali gus dapat menjimatkan kos,” ujar Norfarhan.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok