Asma inspirasi wanita Malaysia
Peluang mendekati Profesor Emerita Datuk Dr Asma Ismail ketika sesi kunjungannya ke Kumpulan Media Karangkraf baru-baru ini, begitu mengujakan.
Masakan tidak, keistimewaan dan kehebatan yang ada padanya telah memberi aura luar biasa kepada sesiapa sahaja sampaikan ramai yang tertanya-tanya, apakah kelebihan dimiliki beliau sehingga maju jaya dalam kariernya.
Anak kelahiran Jitra, Kedah ini merupakan ahli biologi molekul dan akademik Malaysia.
Beliau ialah Naib Canselor wanita pertama Universiti Sains Malaysia (USM) pada 4 Oktober 2016 dan merupakan Naib Canselor Wanita Pertama di universiti tersebut.
Anak sulung daripada tiga orang adik-beradik ini, kini merupakan Pro-Canselor Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP (UCMI), Kerusi Ibnu Sina (Perubatan), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM) dan Penasihat kepada Perdana Menteri dan negara (Sains, Teknologi dan Inovasi).
Malah, tokoh hebat ini berjaya membangunkan kit ujian pantas demam kepialu (tifoid) yang dipanggil Typhidot dan dijadikan 16 paten untuk dikomersialkan.
Sehingga sekarang, pelbagai anugerah, pencapaian dan pengiktirafan telah dicapai oleh beliau, antaranya dianugerahkan ijazah doktor sains kehormat dari Universiti Glasgow pada tahun 2013.
Kemudian, Asma menerima anugerah Medallion Mural Thomas Hart Benton Universiti Indiana pada 2015, ijazah doktor kehormat dari Universiti Keele dan Kehormat Doktor Undang-Undang (LLD), Universiti Pengajian Asing Kyoto 2017.
Seterusnya, pada 2018, beliau telah diumum penerima Anugerah Tokoh Srikandi Negara atas sumbangan cemerlang dalam bidang pendidikan di Malaysia dan antarabangsa.
Sinar Bestari mendekati tokoh ini sekali gus mencungkil rahsia tentang dirinya yang mungkin ramai tidak tahu.
Ikuti wawancara eksklusif penulis bersama tokoh akademik tersohor negara, baru-baru ini.
SINAR BESTARI: Boleh kongsikan pencapaian paling besar dalam hidup Profesor (Prof)?
ASMA: Bagi seorang ahli akademik, apabila kita meninggal dunia, pasti Tuhan akan tanya apakah ilmu yang kamu hasilkan, dimanfaatkan oleh manusia? Jadi, saya terfikir untuk bangunkan inovasi. Kemudian, saya dan pasukan ketika berkhidmat di USM telah menghasilkan kit diagnostik pantas demam kepialu (tifoid) dikenali Typhidot sekali gus berjaya mendapat pengiktirafan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Typhidot ini adalah kit yang membantu golongan miskin untuk diagnos demam kepialu. Ia hanya mengambil masa hanya tiga jam sahaja untuk mengesan penyakit itu.
Inovasi ini cukup memberi impak pada diri saya. Kerana apa? Kerana ia inovasi oleh rakyat Malaysia untuk menolong golongan berkenaan sekali gus menyakinkan saya bahawa Typhidot adalah salah satu Strategi Lautan Biru yang tidak disedari sesiapa pun pada waktu itu.
Pertama kali inovasi ini dibangunkan pada 1994, tentulah saya dan pasukan bangga, apatah lagi ketika itu Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) masih belum ada. Sekurang-kurangnya Typhidot boleh dijadikan ‘role model’ kepada penyelidik USM untuk membantu golongan miskin kelak.
Apabila menjadi individu yang dikenali WHO, ia adalah salah satu pencapaian terbaik kepada kerjaya saya ditambah pula dengan kejayaan Typhidot yang memenangi pelbagai anugerah kebangsaan dan antarabangsa sekali gus memantapkan karier sebagai ahli akademik.
SINAR BESTARI: Bukan mudah menghasilkan Typhidot dan saya percaya, banyak cabaran yang dilalui Prof. Mungkin Prof boleh ceritakan tentang rintang dihadapi?
ASMA: Cabaran? Rintangan? Siapa sahaja pasti akan lalui begitu juga dengan saya. Laluan untuk sampai ke fasa ini cukup berliku. Saya masih ingat, apabila Typhidot dipasarkan, negara luar seperti Filipina, India dan Pakistan sanggup membelinya dan mereka menghormati saintis Malaysia. Tetapi di negara sendiri, orang kita masih tidak percaya dengan kebolehan anak watan. Mereka masih dengan pemikiran bahawa produk luar lebih bagus.
Hingga sekarang, saya sudah menang banyak anugerah dan pengiktirafan menerusi Typhidot namun masih ramai yang kurang percaya dan pandang rendah. Itu memag tak dapat diubah di negara sendiri dan ia mengecewakan saya.
Seharusnya kita ubah pemikiran kita yang anak-anak Malaysia mampu berjaya dan hebat seperti orang lain. Ada lulusan Cambridge, Oxford University dan MIT yang semuanya berkebolehan, siap boleh buat Artificial Intelligence (AI) dan sebagainya.
Tetapi selagi kita tidak boleh mempercayai kebolehan saintis tempatan, percayalah kita tidak akan mampu untuk maju dan mencipta inovasi yang lagi ‘power’.
SINAR BESTARI: Siapa yang menjadi inspirasi Prof?
ASMA: Lihatlah saya, saya seorang wanita, saintis tegar di negara ini yang menggerakkan pengkomersilan penyelidikan dan pembangunan (R&D). Jadi, apabila anda menjadi yang pertama melakukan semua ini, sudah tentu anda sendiri didorong dengan semangat dan dedikasi yang kuat untuk melakukannya.
Sekarang, saya berharap saya dapat menjadi contoh kepada lebih ramai ahli akademik muda di luar sana sekali gus memberi inspirasi kepada mereka.
Untuk menjawab tentang inspirasi, saya tidak mempunyai sesiapa kerana bila anda orang pertama yang melakukan begitu banyak, anda adalah insipirasi kepada diri sendiri. Namun, saya ada beberapa individu yang banyak membantu dan membimbing saya sehingga berjaya seperti sekarang.
Bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Tan Sri Dr Madinah Mohamad mengajar tentang kepimpinan, Professor Emerita Datuk Dr Rashidah Shuib yang sentiasa beri semangat ‘you kena move on, move on’, Profesor Helena dan Hazami Habib yang sering bagi sokongan dan motivasi serta Profesor Emeritus Tan Sri Datuk Dzulkifli Abdul Razak.
Paling tidak dilupakan, suami, Ahmad Zakaria yang sentiasa ada disamping saya tanpa mengira masa. Beliau lelaki yang tidak pernah berhenti menyokong. Sebab itu, saya sentiasa menitipkan pesanan kepada semua wanita, pilihlah pasangan hidup yang tepat. Jika anda mendapatnya, anda cukup bertuah.
Bersara? Saya belum kenal erti bersara lagi. Insan sekeliling tidak pernah meminta saya berhenti daripada apa yang saya lakukan sebaliknya mereka sentiasa bilang ‘teruskan, teruskan’.
SINAR BESTARI: Bagaimana Prof bersaing dengan golongan lelaki dalam kerjaya dan kehidupan?
ASMA: Ketika bekerja, tiada perbandingan lelaki atau wanita, kita mesti bergerak dalam satu pasukan. Seseorang perlu pandai membawa diri, yakin, terbuka minta pandangan, hulur kerjasama dan jangan jadikan diri sebagai diktator.
SINAR BESTARI: Selaku wanita hebat, apa pesanan Prof kepada mereka (wanita)?
ASMA: Kita kena kenali diri dan kebolehan yang ada. Jika anda ingin berjaya dalam dunia sekarang, perlu ada kolaborasi dan rangkaian, dalam apa-apa sahaja terutamanya kepada wanita muda yang mempunyai kerjasama kukuh dan rangkaian kuat.
Dalam menjalankan tugas atau apa sahaja komitmen, seorang wanita tidak boleh bekerja seorang, perlu ada mentor untuk tolong apa yang patut dan bagi sokongan jika kita jatuh.
Kemudian, ketika percakapan sehari-hari, bercakaplah dengan penuh semangat dan ada isi kandungan. Semua orang akan pandang anda dan ambil serius serta anda akan dihargai.
Wanita ini, seorang yang kuat kerana mereka bukan sahaja hebat di rumah mahal hebat juga di pejabat. Sebab itulah, kita (wanita) dipanggil Superwoman.