Berbekalkan kos RM300, mahasiswa UPSI berjaya hasilkan filem pendek seram, dapat sambutan warga maya
Bercakap sahaja tentang Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), pasti ramai yang menganggap mahasiswanya dilatih dan diberi tunjuk ajar untuk menjadi seorang warga pendidik.
Namun, siapa sangka terdapat satu jurusan dikenali Komunikasi Sosial di Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK) UPSI yang berjaya melahirkan sekumpulan mahasiswa yang mampu menghasilkan sebuah filem pendek sekali gus mendapat pujian ramai.
Mana tidaknya, perkongsian video belakang tabir dalam menghasilkan filem pendek berjudul Jenguk itu telah mendapat perhatian warga maya di aplikasi TikTok apatah lagi ia hanya memakan kos pembikinan sebanyak RM300 sahaja.
Menurut pengarahnya, Alam Aizzat Jalani, filem pendek bergenre seram itu hanya melibatkan kos lebih kurang RM300 untuk penyediaan prop dan peralatan merekod seperti kamera dan lampu.
“Bagi penyediaan peralatan seperti lampu dan kamera kami pinjam dari Jabatan Komunikasi (JKOM) FBK dan menggunakan Rumah Tamu UPSI sebagai lokasi penggambaran.
“Untuk prop seperti radio lama yang digunakan dalam filem Jenguk ini, kami pinjam daripada sebuah kedai di Tanjung Malim, Perak,” ujarnya kepada Sinar Bestari.
Tambah Alam Aizzat, penghasilan filem pendek seram itu adalah untuk pertandingan Festival Filem Pelajar Malaysia yang dianjurkan dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS).
Malah, dia turut memberitahu, walaupun video belakang tabir filem berkenaan mendapat perhatian warga maya yang rata-ratanya berminat untuk menonton namun setakat ini ia masih belum ditayangkan di mana-mana platform.
Ini kerana, jelasnya, dia dan rakan produksi lain bercadang untuk menerbitkan Jenguk 2 sebagai projek tahun akhir di UPSI.
“Sekarang kami sedang mengumpul dana untuk pembikinan filem Jenguk 2 yang akan berdurasi sepanjang 30 hingga 40 minit.
“Kami pernah membuat tayangan filem pendek Jenguk ini kepada penuntut UPSI pada tahun 2022 yang lepas dan idea penghasilan Jenguk 2 datang selepas kami mendapat sokongan yang luar biasa dari mahasiswa kampus ini.
“Jadi bagi mengumpul dana untuk projek yang seterusnya, kami akan mengadakan tayangan Jenguk buat kali kedua pada 8 dan 10 November 2023 di UPSI,” beritahunya.
Alam Aizzat juga memaklumkan, setakat ini dia dan rakan produksi masih tiada perancangan untuk menghantar filem Jenguk ke mana-mana pertandingan.
Ia kerana, sekiranya mereka berminat untuk menyertai sebarang pertandingan mereka bercadang untuk menghasilkan sebuah karya yang baru untuk penonton.
Tambahnya lagi, dia dan rakan produksi turut mengalukan mana-mana pihak yang berminat untuk berkolaborasi dalam pembikinan filem kerana ia sedikit sebanyak membantu mereka berkembang dengan lebih maju sebagai pendatang baru dalam industri filem negara.