Kejayaan yang diraih adalah suatu kebanggaan dan kepuasan dalam menuntut ilmu.
Kejayaan yang diraih adalah suatu kebanggaan dan kepuasan dalam menuntut ilmu.

Cemerlang setiap semester pengajian, ini strateginya!

RAHMAHTUNNISAH SAILIN
26 Jun 2023 12:00pm
A
A
A

Menyusun strategi untuk cemerlang dalam setiap semester pengajian bukanlah suatu yang mudah.

Namun ia tidak mustahil untuk dicapai dengan displin dan komitmen yang tinggi dalam hala tuju yang telah digarap rapi.

Bukan sekadar pencapaian akademik yang diutamakan malah pembangunan potensi diri dengan pelbagai kegiatan sampingan di kampus sewajarnya dimanfaatkan dalam tempoh tiga hingga lima tahun pengajian di peringkat diploma atau ijazah pertama.

Fahami keutamaan

Seawal menjejakkan kaki ke institut pengajian tinggi (IPT), seseorang mahasiswa sewajarnya telah jelas keutamaan ketika berada di menara gading adalah untuk menimba ilmu sebaik-baiknya.

Menghadiri kuliah dan tutorial bagi setiap kursus yang didaftar adalah rutin harian baharu yang memerlukan displin diri yang tinggi.

Kehadiran yang baik akan membantu kefahaman berterusan kepada kandungan pembelajaran yang dilaksanakan setiap minggu.

Mengenali dan menghormati pensyarah melalui kefahaman terhadap gaya penyampaiannya, kecenderungan, sikap dan ketelitiannya dalam penyampaian serta tugasan yang diberikan membolehkan penuntut mencipta kecemerlangan dalam pengajian.

Artikel Berkaitan:

Oleh yang demikian, mahasiswa sewajarnya berusaha sedaya upaya untuk memenuhi arahan dan kehendak pensyarah dalam melaksanakan setiap tugasan yang diberikan.

Fokus sewaktu Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) adalah strategi terbaik bagi menjimatkan usaha dan masa mengulang kaji pelajaran sewaktu ujian atau peperiksaan akhir.

Apatah lagi lazimnya minggu ujian dan peperiksaan akhir pula akan dijadualkan mengikut sistem universiti yang agak padat.

Penyampaian kuliah dan tutorial di universiti mempunyai timbal balas yang interaktif bagi memastikan kuliah berjalan dalam keadaan santai dan difahami. Maka penuntut seharusnya memainkan peranan yang baik.

Bertanya soalan, memberi pendapat, menyatakan pendirian malah mengulas sesuatu isu dengan baik akan menjadikan suasana pembelajaran lebih positif dan menyeronokkan.

Secara tidak langsung sebenarnya pensyarah juga dapat mengenali mahasiswa yang aktif, di samping memberi gambaran positif kepada mereka yang sering memberi maklum balas.

Keadaan ini boleh diumpamakan sebagai ‘bonus tersimpan’ yang bakal membantu penuntut pada saat-saat diperlukan.

Kepimpinan siswa boleh dipupuk melalui pelbagai program bersama komuniti.
Kepimpinan siswa boleh dipupuk melalui pelbagai program bersama komuniti.

Kenal pasti hasil pembelajaran kursus yang diperlukan

Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sangat cakna dengan pemetaan hasil pembelajaran kursus yang selari dengan kaedah pembelajaran dan penilaian yang dilaksanakan.

Oleh itu, penyediaan rancangan mengajar atau proforma kursus perlu disediakan dengan teliti, sistematik dan bersifat dinamik.

Walaupun agak sukar disediakan dan sentiasa perlukan penambahbaikan, namun proforma ini turut membantu mahasiswa untuk memahami apakah keperluan kursus, bagaimana kaedah pembelajaran dan penilaiannya.

Mahasiswa yang mempunyai sifat minda berstruktur akan menjadikan proforma sebagai asas strategi pembelajaran.

Malah, mereka secara jelas dapat mengetahui apakah topik-topik pembelajaran yang akan dinilai dalam ujian mahupun peperiksaan akhir, melalui hasil pembelajaran kursus atau course learning outcome (clo) yang tertera dalam proforma.

Maka hanya topik berkenaan sahaja perlu diberi perhatian. Ini kerana topik-topik yang lain telahpun dinilai melalui tugasan atau pembentangan.

Kebanyakan kursus tidak lagi menumpukan kepada orentasi peperiksaan semata-mata bagi menilai keseluruhan pencapaian mahasiswa.

Untuk itu, tingkat Bloom’s Taxonomy perlu difahami dengan baik bukan sahaja oleh para tenaga pengajar malah mahasiswa sendiri.

Ini penting bagi memastikan potensi penuntut tidak sekadar boleh mengingat dan memahami, namun perlukan keupayaan mengapliskasi, menganalisis, menilai dan mereka bentuk yang dinilai berdasarkan tahap pengajian yang diikuti.

Peka isu semasa dan pelbagai bahan bacaan

Sesi pembelajaran dan bahan-bahan ketika sesi perkuliahan sebenarnya tidak mencukupi sekiranya mahasiswa inginkan pengetahuan yang lebih baik.

Oleh yang demikian mahasiswa sewajarnya turut mempunyai strategi dalam pencarian maklumat berdasarkan isu semasa.

Begitu juga dengan kemahiran mendapatkan bahan ilmiah melalui jurnal, laporan-laporan agensi kerajaan dan swasta yang berkaitan.

Maklumat-maklumat tambahan ini akan menjadikan penuntut lebih berupaya untuk memahami kandungan pembelajaran dengan konteks sebenar persekitaran.

Sebagai contoh, bukti dan hujahan yang lebih baik akan dapat dibentangkan dengan menyakinkan.

Menjaga hubungan baik dengan ALLAH, ibu bapa dan pensyarah

Memulakan pencarian ilmu, sewajarnya bermula dengan niat mendapatkan reda ALLAH, restu dan doa berterusan ibu bapa serta beradab mulia dengan guru.

Mahasiswa seharusnya kerap bermuhasabah diri kerana ilmu yang diterima adalah pinjaman ALLAH.

Malah, mahasiswa yang beradab tinggi turut mempengaruhi sikap pendidik yang sentiasa memuliakan mereka dengan iringan doa dan syukur, agar diberi kefahaman ilmu dan dapat beramal dengannya.

Maklumat Penulis

Pensyarah, Program Komunikasi (Penyiaran), Jabatan Bahasa Inggeris dan Komunikasi, Fakulti Pengurusan dan Muamalah, Universiti Islam Selangor, Rahmahtunnisah Sailin.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok