Danish Anaqi (tiga dari kanan) bersama sahabat-sahabat Muslim meraikan Hari Raya Aidilfitri.
Danish Anaqi (tiga dari kanan) bersama sahabat-sahabat Muslim meraikan Hari Raya Aidilfitri.

Dendang perantau Danish Anaqi, Nur Husnina

Sambut Syawal sederhana di negara Matahari Terbit

NADZARUL AMIR ZAINAL AZAM
26 Apr 2023 09:35am
A
A
A

Pemilik nama Danish Anaqi Aaron Mustapha dan Nur Husnina Abdul Rahim merupakan antara ribuan pelajar yang berkelana ke Jepun dalam mengejar impian menggapai ilmu di negara Matahari Terbit itu.

Mahasiswa Universiti Teknologi Tokyo, Katakuramachi, Hachioji, Tokyo, Jepun, Nur Husnina baru sahaja melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan mekanikal pada bulan lalu.

Danish Anaqi pula yang merupakan anak sulung pasangan Datuk Aaron Aziz dan Datin Diyana Halik kini memasuki tahun ketiga meneruskan pelajaran di sekolah asrama antarabangsa berdekatan Karuizawa, Nagano, Jepun.

Berjauhan beribu-ribu kilometer (km) daripada keluarga menuntut Danish Anaqi dan Nur Husnina untuk lebih berdikari mengharungi kehidupan seharian.

Danish Anaqi (tiga dari kanan) bersama sahabat-sahabat Muslim meraikan Hari Raya Aidilfitri.
Danish Anaqi (tiga dari kanan) bersama sahabat-sahabat Muslim meraikan Hari Raya Aidilfitri.



Bahkan, kedua-dua mahasiswa dan pelajar tersebut menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini dalam suasana sederhana bersama sahabat-sahabat beragama Islam di negara terbabit.

Solat raya di Chiba dan Tokyo

Nur Husnina berkata, tiada persiapan khusus untuknya menyambut Hari Raya Aidilfitri kerana terikat dengan kesibukan jadual kuliah di Jepun.

Anak kelahiran Selangor itu memberitahu, dia sangat merindui Malaysia apatah lagi tibanya Hari Raya Aidilfitri.

Artikel Berkaitan:


Nur Husnina (depan, kanan) tidak ketinggalan berjalan-jalan 
di bandar dengan pakaian hari raya.
Nur Husnina (depan, kanan) tidak ketinggalan berjalan-jalan di bandar dengan pakaian hari raya.



"Bagaimanapun, saya bertuah kerana mempunyai rakan sekuliah yang ramai malah kami berjumpa pada malam hari raya, memasak bersama-sama sambil 'ditemani' lagu raya.

"Pada pagi raya pula kami bersama-sama menunaikan solat Hari Raya Aidilfitri di Masjid Hira Gyotoku, Ichikawa, Chiba.

"Sambutan Syawal diteruskan dengan bergambar sekitar Chiba dan Tokyo dengan pakaian raya ketika menaiki kereta api," ujar anak bongsu daripada lima beradik itu.

Dalam pada itu, Danish Anaqi yang mula berkelana ke Jepun seawal usia 16 tahun pula memberitahu, dia sudah membuat perancangan menunaikan solat Hari Raya Aidilfitri di bandar Shibuya, Tokyo.

"Saya dan seorang lagi rakan akan mengembara ke Tokyo untuk merasai kemeriahan solat Hari Raya Aidilfitri di Masjid Tokyo Jamii yang menampilkan sentuhan gaya seni bina Uthmaniyyah.

"Kami ke sana kerana di kawasan belajar tidak mempunyai masjid yang mengerjakan solat Hari Raya Aidilfitri," kata jejaka berusia 19 tahun itu.

Dia menjelaskan, perlu mengembara kira-kira tiga jam menaiki kereta ataupun satu jam lebih menggunakan perkhidmatan kereta api untuk sampai ke Tokyo.

Konsep berkongsi

Bercerita mengenai sambutan Hari Raya Aidilfitri di negara Matahari Terbit itu, Nur Husnina memberitahu, ia tidak semeriah di Malaysia.

"Saya sempat membuat biskut cornflakes dan pasta sahaja. Bagaimanapun, kawan-kawan memasak rendang dan nasi himpit.

"Apabila berada berjauhan daripada keluarga, konsep berkongsi ini dapat meng•ubat kerinduan di kampung halaman," tuturnya.

Aktiviti memasak juadah hari raya bersama-sama menjadi pengalaman baharu Nur Husnina di Jepun.
Aktiviti memasak juadah hari raya bersama-sama menjadi pengalaman baharu Nur Husnina di Jepun.



Mahasiswa program twinning kejuruteraan mekanikal universiti Jepun, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) itu menambah, dia sangat merindui rendang ibunya.

Danish Anaqi yang sependapat dengan konsep berkongsi di hari raya menambah, orang Muslim merupakan golongan minoriti di sekolahnya.

"Melalui konsep tersebut, saya dapat mengenali budaya dan makanan negara-negara lain termasuk dari negara Senegal, Morocco, Pakistan, Tajikistan, Somaliland, United Kingdom, Bangladesh serta Maldives apabila menyambut perayaan di Jepun.

"Jadi untuk hari raya ini saya akan menyajikan hidangan istimewa rendang ayam resipi yang dipelajari daripada nenek dan ibu," ujarnya yang mempunyai dua adik perempuan.

Belajar di Jepun

Mengulas mengenai kehidupan sebagai mahasiswa di Jepun, Nur Husnina memberitahu, dia perlu menyesuaikan diri dengan budaya dan bahasa negara terbabit.

Biarpun dia tidak mempunyai masalah bahasa kerana telah menjalani program di Malaysia selama tiga tahun tetapi terdapat kesukaran mempelajari kejuruteraan dalam bahasa Jepun.

Nur Husnina
Nur Husnina



Bagi Danish Anaqi yang mengikuti pengajian prauniversiti International Baccalaureate Diploma Program (IBDP) pula berkata, dia masih tidak fasih berbahasa Jepun kerana sekolah asrama tersebut menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam pembelajaran.

"Saya akan bertutur dalam bahasa Jepun apabila berada di luar sekolah untuk membeli barangan atau menggunakan pengangkutan awam.

Dia juga bertuah kerana terdapat pelajar-pelajar Jepun di sekolah berkenaan yang sentiasa menurunkan ilmu terutama mengenai adab dan budaya mereka.

Danish Anaqi
Danish Anaqi



Profil

NAMA: Danish Anaqi Aaron Mustapha

UMUR: 19 Tahun

ADIK-BERADIK: Anak sulung daripada tiga beradik.

PELAJARAN: Pengajian prauniversiti International Baccalaureate Diploma Program (IBDP) di Jepun.

INSTAGRAM: danishanagiaaron (followers: 63.7K)

Nur Husnina
Nur Husnina



Profil

NAMA: Nur Husnina Abdul Rahim

UMUR: 21 Tahun

ADIK-BERADIK: Anak bongsu daripada lima beradik.

PELAJARAN: Kejuruteraan Mekanikal, Universiti Teknologi Tokyo, Katakuramachi, Hachioji, Tokyo,Jepun.

INSTAGRAM: ninaasayang (followers: 13.6K)

TIKTOK: ninaasayang (followers: 66.6K)

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok