
Kenaikan harga rumah dijangka terus meningkat
Isu kenaikan harga rumah di Malaysia telah menjadi topik hangat yang dibincangkan dalam pelbagai peringkat masyarakat, daripada golongan muda yang baru memasuki dunia pekerjaan hingga kepada pembuat dasar kerajaan.
Peningkatan harga rumah bukan sahaja memberi kesan terhadap kemampuan rakyat untuk memiliki kediaman sendiri, tetapi turut membawa implikasi yang besar terhadap kestabilan dan pertumbuhan ekonomi negara.
Dalam konteks ekonomi makro, sektor perumahan memainkan peranan penting kerana ia berkait rapat dengan aktiviti pembinaan, pelaburan, penggunaan bahan binaan, serta penciptaan peluang pekerjaan.
Menurut Jamie Tan, pengarah urusan JLL Malaysia berkata secara umumnya, pasaran hartanah kediaman mencatatkan peningkatan harga dengan purata harga pangsapuri dan kondominium di Greater Kuala Lumpur meningkat sebanyak 7.9 peratus sejak pandamik, sementara pangsapuri servis meningkat kira-kira 6.2 peratus.
Beliau berkata, harga paling tinggi dicatatkan di kawasan Batu (Bukit Kiara, Segambut) pada RM500 setiap kaki persegi bagi apartmen dan kondominium pada suku pertama 2024.
Manakala, harga paling rendah pula dicatatkan di Cheras sebanyak RM299 bagi setiap kaki persegi.
Perbezaan harga ini menunjukkan wujudnya jurang harga antara kawasan bandar utama dan pinggir bandar, sekaligus berlaku ketidakseimbangan dalam agihan pembangunan ekonomi bandar.
Oleh hal yang demikian, bagi memiliki rumah sendiri bukan lagi sesuatu yang mudah kerana harga rumah meningkat lebih cepat berbanding kadar kenaikan pendapatan penduduk.
Kenaikan harga rumah yang mendadak ini adalah disebabkan oleh beberapa faktor ekonomi utama. Antaranya ialah peningkatan kos bahan binaan seperti simen, besi, dan keluli yang berkait langsung dengan kadar inflasi global.
Apabila harga bahan binaan meningkat, pemaju perumahan akan memindahkan kos tambahan tersebut kepada pembeli, menyebabkan harga rumah melonjak naik.
Di samping itu, harga tanah di kawasan strategik seperti Kuala Lumpur, Penang, dan Johor Bahru terus meningkat disebabkan permintaan yang tinggi serta kekurangan tanah sesuai untuk pembangunan baharu.
Hal ini menjadikan rumah di kawasan bandar sukar untuk dimiliki oleh golongan berpendapatan sederhana.
Selain faktor kos, ketidakseimbangan antara permintaan dan penawaran juga mendorong kenaikan harga rumah.
Permintaan tinggi terhadap rumah mampu milik tidak diimbangi dengan bekalan yang mencukupi.
Banyak projek pembangunan yang dijalankan lebih tertumpu kepada segmen rumah mewah yang memberi pulangan lebih tinggi kepada pemaju.
Dalam jangka panjang, keadaan ini mewujudkan pasaran hartanah yang tidak seimbang, di mana rumah-rumah yang dibina tidak sepadan dengan kemampuan kewangan majoriti rakyat Malaysia.
Dari sudut sosial dan ekonomi, fenomena ini memberikan tekanan besar kepada rakyat.
Golongan muda, khususnya yang baru bekerja, berdepan kesukaran menyediakan wang pendahuluan dan komitmen ansuran bulanan.
Ramai terpaksa menyewa untuk tempoh yang panjang, menyebabkan mereka ini tidak memiliki aset tetap.
Keadaan ini memberi kesan kepada kitaran ekonomi jangka panjang, kerana apabila rakyat kurang berkemampuan membeli rumah, ia akan menjejaskan permintaan dalam pasaran perumahan dan akan menurunkan aktiviti ekonomi dalam sektor berkaitan seperti bahan binaan, hiasan dalaman, dan perkhidmatan guaman hartanah.
Selain itu, jurang ekonomi antara golongan kaya dan miskin semakin melebar.
Mereka yang telah memiliki rumah menikmati peningkatan nilai aset yang tinggi, manakala golongan yang masih menyewa terus ketinggalan.
Dalam ekonomi kapitalis seperti Malaysia, pemilikan aset memainkan peranan besar dalam menentukan kedudukan ekonomi seseorang.
Oleh itu, kenaikan harga rumah yang tidak terkawal ini boleh mengukuhkan ketidaksamaan sosial dan mengurangkan mobiliti ekonomi antara generasi.
Walaubagaimanapun, dalam jangka pendek, kenaikan harga rumah turut memberikan kesan positif kepada ekonomi negara.
Peningkatan nilai hartanah menaikkan keyakinan pengguna dan menggalakkan perbelanjaan.
Pemilik rumah yang melihat aset mereka meningkat nilainya cenderung berbelanja lebih, sekali gus merangsang ekonomi domestik melalui kesan kekayaan.
Sektor pembinaan pula mendapat manfaat apabila permintaan terhadap rumah baharu masih tinggi, menjana peluang pekerjaan dan pendapatan kepada ribuan pekerja termasuk kontraktor, juruteknik, jurutera, dan arkitek.
Namun, dalam jangka panjang pula, kesan negatifnya lebih besar jika harga rumah terus meningkat tanpa kawalan.
Antara kesan utama ialah berlaku peningkatan hutang isi rumah. Rakyat yang terpaksa membuat pinjaman perumahan yang tinggi dan akan berdepan dengan komitmen kewangan jangka panjang, mengurangkan kuasa beli dan menyekat perbelanjaan terhadap barangan lain.
Ini akhirnya boleh melemahkan permintaan domestik, yang merupakan pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara.
Jika kadar hutang isi rumah terlalu tinggi berbanding pendapatan, ia boleh menjejaskan kestabilan kewangan dan menimbulkan risiko kepada sistem perbankan.
Dari sudut makroekonomi pula, sektor perumahan ialah penunjuk penting kepada kesihatan ekonomi sesebuah negara.
Apabila harga rumah meningkat dengan kadar yang tidak seimbang dengan pendapatan rakyat, ia menandakan ketidakseimbangan struktur ekonomi, ini kerana pertumbuhan ekonomi yang sihat sepatutnya disertai peningkatan upah dan produktiviti yang sejajar dengan kos sara hidup.
Dalam konteks Malaysia, kadar pertumbuhan pendapatan isi rumah tidak seiring dengan kenaikan harga rumah, menjadikan isu ini satu bentuk beban ekonomi struktural yang perlu ditangani oleh kerajaan melalui dasar fiskal dan perumahan yang lebih inklusif.
Oleh hal yang demikian, Kerajaan Malaysia telah memperkenalkan beberapa dasar seperti Dasar Perumahan Negara (DRN 2018–2025) bagi memastikan setiap rakyat mempunyai akses kepada kediaman yang selesa dan mampu milik.
Dasar ini menekankan pembinaan rumah berharga rendah dan sederhana, peningkatan sistem pinjaman perumahan, serta penyediaan tanah milik kerajaan untuk pembangunan perumahan rakyat.
Namun, pelaksanaan dasar ini perlu dipantau dengan teliti dan berterusan bagi memastikan ketelusan, keberkesanan, dan kecekapan dalam memenuhi keperluan sebenar masyarakat.
Dalam konteks ekonomi negara, harga rumah yang stabil dan berpatutan dapat menyokong kestabilan pasaran kewangan, merangsang pelaburan domestik, dan memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan.
Sebaliknya, kenaikan harga rumah yang melampau akan menyebabkan ketidakseimbangan dalam sektor kewangan, meningkatkan risiko spekulasi hartanah, dan akhirnya mencetuskan gelembung ekonomi.
Oleh itu, penyelesaian isu kenaikan harga rumah perlu dilihat secara menyeluruh dan bersepadu, bukan hanya dari aspek sosial tetapi juga ekonomi.
Kerajaan perlu mengawal harga tanah, menstabilkan harga bahan binaan, serta memperkukuh dasar gaji minimum agar selaras dengan kos sara hidup sebenar.
Pemaju pula perlu diberi insentif untuk membina lebih banyak rumah mampu milik, manakala rakyat pula harus digalakkan untuk menabung dan merancang kewangan sejak awal lagi.
Secara keseluruhannya, isu kenaikan harga rumah bukan hanya soal individu tidak mampu membeli rumah, tetapi ia menggambarkan keadaan dan kestabilan ekonomi negara secara keseluruhannya.
Fenomena ini menggambarkan bagaimana keseimbangan antara penawaran dan permintaan dalam pasaran hartanah, tingkat pendapatan isi rumah, dan asas ekonomi dan sosial kerajaan saling berkaitan dalam membentuk struktur ekonomi negara.
Jika harga rumah meningkat dengan ketara tanpa peningkatan pendapatan yang setimpal, ini menunjukkan ketidakseimbangan dalam pasaran di mana kos sara hidup meningkat lebih cepat daripada kemampuan orang ramai.
Keadaan ini bukan sahaja akan memberi tekanan kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana, malah turut menjejaskan kestabilan ekonomi dalam jangka panjang.
Maklumat penulis:
1. Mahasiswa tahun akhir Sarjana Muda Pengurusan (Pengajian Polisi) dengan kepujian, Universiti Malaysia Terengganu, Sharifah Nurul Linda Saiyid Abu Bakar
2. Penyelaras Kursus Perancangan dan Pembangunan Ekonomi Malaysia, UMT, Jaharudin Padli
Ringkasan AI
- Isu kenaikan harga rumah di Malaysia mencetuskan diskusi di pelbagai lapisan masyarakat
- Harga pangsapuri dan kondominium di Greater Kuala Lumpur meningkat sejak pandemik, menunjukkan jurang harga antara kawasan bandar utama dan pinggir bandar
- Faktor ekonomi utama seperti peningkatan kos bahan binaan dan harga tanah di kawasan strategik mendorong kenaikan harga rumah
- Kenaikan harga rumah menimbulkan tekanan sosial dan ekonomi, terutama kepada golongan muda yang baru bekerja
- Kerajaan Malaysia memperkenalkan Dasar Perumahan Negara 2018–2025 untuk menangani isu akses kepada kediaman yang selesa dan mampu milik