No Image Caption

Kesedaran isu buta warna perlu dipertingkat demi melahirkan masyarakat inklusif

22 Jan 2025 08:30pm

Buta warna adalah satu bentuk kekurangan visual yang sering diabaikan oleh masyarakat, meskipun ia memberi cabaran dan impak besar terhadap kehidupan seharian individu yang mengalaminya.

Di Malaysia, inisiatif kesedaran terhadap isu ini perlu diberi perhatian yang lebih serius dan sewajarnya oleh orang ramai, seperti yang ditonjolkan dalam acara Spectrum Strides: Colour Blind Fun Run, yang telah diadakan pada 12 Januari 2025 di Dataran Kemerdekaan Shah Alam.

Inisiatif Spectrum Strides anjuran pelajar tahun akhir Perhubungan Awam dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam ini, berjaya menarik lebih 700 peserta daripada pelbagai latar belakang, termasuk mereka yang mengalami buta warna, keluarga, remaja dan komuniti setempat.

Program ini merupakan gabungan unik antara aktiviti kecergasan, pendidikan dan pemupukan sifat empati dalam kalangan masyarakat.

Ia juga menandakan satu titik permulaan baharu dalam usaha meningkatkan kefahaman rakyat Malaysia mengenai buta warna.

Apakah itu buta warna? Buta warna bukan bermaksud seseorang itu tidak dapat melihat warna sama sekali.

Sebaliknya, ia merujuk kepada ketidakupayaan untuk mengenal pasti perbezaan antara warna-warna tertentu seperti merah dan hijau atau biru serta kuning. Keadaan itu boleh memberi kesan besar terhadap kerjaya, aktiviti seharian dan kualiti hidup individu yang mengalaminya.

Meskipun masalah ini adalah masalah genetik yang biasa, masih ramai kurang memahami kesannya terhadap individu yang menghidapinya.

Artikel Berkaitan:

Dengan tema utama meningkatkan kesedaran mengenai buta warna, acara ini bukan sekadar larian santai tetapi turut menampilkan pelbagai aktiviti interaktif.

Gambar kecil: Muhammad Syafi Fauzan.
Gambar kecil: Muhammad Syafi Fauzan.

Aktiviti seperti Realiti Maya (VR) membolehkan peserta merasai pengalaman melihat dunia melalui perspektif individu yang buta warna.

Aktiviti Spot the Difference pula mencabar peserta untuk mengenal pasti variasi warna, nombor dan bentuk, memberikan pemahaman secara langsung tentang cabaran yang dihadapi oleh individu yang mempunyai masalah buta warna.

Acara seperti ini bukan sahaja menyeronokkan tetapi juga mendidik serta membuka ruang untuk melahirkan rasa empati yang lebih mendalam.

Program ini turut menekankan elemen Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) terutamanya dalam menyentuh aspek SDG 3 (Kesihatan Baik dan Kesejahteraan) dan SDG 10 (Mengurangkan Ketidaksamaan).

Dengan melibatkan pelbagai lapisan masyarakat dan mendidik mereka tentang buta warna, ia dapat memupuk suasana yang lebih harmoni apabila setiap anggota masyarakat saling memahami antara satu sama lain.

Sementara itu, Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata, acara tersebut bukan hanya menyokong gaya hidup sihat, tetapi menyumbang kepada usaha menjadikan Shah Alam sebagai bandar rendah karbon.

Beliau berharap agar inisiatif seperti ini diteruskan bagi menggalakkan perpaduan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat.

Spectrum Strides ini berjaya membuktikan bahawa kesedaran boleh digabungkan dengan aktiviti riadah untuk memberi impak yang lebih besar.

Ketua program, Farissa Hanna Mohd Hakimi menyatakan objektif utama mereka adalah memastikan setiap peserta membawa pulang mesej penting mengenai cabaran dihadapi individu buta warna.

"Dengan sokongan pelbagai penaja dan rakan kolaborasi, program ini dilihat berjaya menarik perhatian masyarakat terhadap isu ini. Kesedaran mengenai buta warna memerlukan usaha berterusan agar ia diiktiraf sebagai isu yang penting dalam kalangan masyarakat.

"Dengan inisiatif seperti Spectrum Strides ini, kita dapat melangkah ke arah masyarakat yang lebih prihatin dan inklusif.

"Diharapkan program ini dapat diteruskan pada masa hadapan untuk terus meningkatkan kesedaran dan membawa perubahan positif kepada komuniti dalam konteks sokongan sosial," katanya.

Maklumat Penulis

Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Muhammad Syafi Fauzan Saifuddin

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp