Pasukan yang menghasilkan projek akhir AR Sandbox, dari kiri Azzalizah dan Aiman (kanan). Turut serta, penyelia mereka, Mohd Firdaus (dua dari kanan).
Pasukan yang menghasilkan projek akhir AR Sandbox, dari kiri Azzalizah dan Aiman (kanan). Turut serta, penyelia mereka, Mohd Firdaus (dua dari kanan).

Projek AR Sandbox rangkul Anugerah Pengarah pada FYPComp@POLIMAS 2023

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
19 Jun 2023 03:22pm

Projek AR Sandbox yang dihasilkan dua penuntut Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS), Jitra, Kedah iaitu Aiman Bunari dan Azzalizah Abbas merangkul Anugerah Pengarah pada Pertandingan Projek Akhir POLIMAS 2023 (FYPComp@POLIMAS 2023) baru-baru ini.

AR Sandbox atau nama penuhnya Penggunaan AR Sandbox Dalam Inovasi Pengajaran dan Pembelajaran Bagi Memahami Rupa Bentuk Bumi merupakan alat perisian interaktif yang menggabungkan teknologi realiti dan simulasi fizik untuk mencipta persekitaran dengan menggunakan pasir kinetik yang boleh dibentuk oleh penuntut atau pensyarah.

Menurut Aiman, AR Sandbox membolehkan mahasiswa memahami dan menvisualisasi pergerakan rupa bentuk bumi ini dengan lebih mendalam.

Malah ia juga membolehkan penuntut mengetahui konsep dalam bahagian topografi dan alam sekitar dengan mudah.

Aiman dan Azzalizah yang merupakan penuntut Tahun Akhir, Diploma Perancangan Bandar dan Wilayah dari Jabatan Kejuruteraan Awam berkata, kejayaan projek itu juga adalah hasil tunjuk ajar penyelia mereka iaitu pensyarah kursus Diploma Perancangan Bandar dan Wilayah, Mohd Firdaus Abdul Rashid.

“Beliau banyak membantu dari segi perkongsian idea dan khidmat nasihat dalam menghasilkan projek akhir dengan baik.

“Terima kasih atas segala pengorbanan masa dan tenaga bagi membantu kami sehingga AR Sandbox berjaya disiapkan,” ujar mereka.

FYPComp@POLIMAS 2023 yang berlangsung di Dewan Sri Mas, POLIMAS mempertandingkan 251 projek akhir membabitkan penyertaan 456 penuntut daripada pelbagai jabatan di politeknik tersebut.

Artikel Berkaitan:

Ia adalah program julung kali yang melibatkan semua jabatan akademik bagi mempersiapkan mahasiswa POLIMAS dalam menjadi peneraju TVET apabila memasuki alam pekerjaan selaras dengan kehendak industri.

Pengarah Program, Dr Nui Din Keraf berkata, pertandingan bertujuan membolehkan penuntutnya mempersembahkan semua projek akhir mereka kepada industri.

“Dalam pertandingan ini kita mengumpulkan semua panel luar untuk melihat dan menilai inovasi dan kreativiti yang dihasilkan oleh penuntut di samping mengembangkan kemahiran insaniah (soft skills) mereka.

“Setakat ini, pertandingan berjalan lancar malah kita menerima maklum balas baik dari industri yang memuji projek akhir penuntut POLIMAS cukup hebat dan lain daripada yang lain,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah POLIMAS, Rosli Idris berkata, projek akhir mahasiswa merupakan perkara baik dipertandingkan di samping mereka berpeluang mempelajari pelbagai kemahiran menerusi projek masing-masing.

“Apa yang saya lihat, program ini menjadi keperluan industri dalam memacu pengeluaran atau perkhidmatan bagi peningkatan ekonomi negara.

“Di samping itu juga, ia memberi peluang kepada penuntut tahun akhir menghasilkan kreativiti dan inovasi untuk dipertontonkan kepada pihak industri sekali gus membina kerjasama erat antara mereka dengan industri dan bakal majikan,” ujarnya pada majlis penutup FYPComp@POLIMAS 2023 yang lalu.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp