Fatin Nur Aqilah (kiri) berkongsi kegembiraan bersama ibunya, Moraini (kanan) setelah meraih keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM 2022.
Fatin Nur Aqilah (kiri) berkongsi kegembiraan bersama ibunya, Moraini (kanan) setelah meraih keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM 2022.

Terpaksa tolak tawaran universiti dan memilih Tingkatan 6, Fatin Nur Aqilah reda

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
20 Jul 2023 02:49pm

Tawaran melanjutkan pengajian ke Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor, dalam jurusan Diploma Seni Lukis dan Seni Reka disambut dengan rasa syukur oleh pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022, Fatin Nur Aqilah Mat Soom, 18.

Baginya, inilah detik yang paling dinanti-nantikan setelah berjaya mencapai keputusan cemerlang dalam SPM 2022 baru-baru ini.

Namun apakan daya, kesempitan hidup dan kekangan kewangan yang dihadapi membuatkan Fatin Nur Aqilah terpaksa menolak tawaran itu dan memilih untuk menyambung pelajaran ke Tingkatan Enam di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Yahya Petra, Kuala Krai, Kelantan.

Fatin Nur Aqilah berkata, dia sekarang tinggal bersama ibu, Moraini Ismail, 52, di sebuah rumah sewa yang terletak di Kampung Chuchoh Puteri, Kuala Krai.

“Ibu hanya bekerja sebagai penoreh getah dengan pendapatan tidak tetap sekitar RM250 sebulan manakala bapa, Mat Soom Abu Bakar sudah meninggal dunia empat tahun lalu.

“Arwah bapa pesara tentera dan kami menerima pencennya sebanyak RM1,300 sebulan, bagaimanapun jumlah tersebut tidak mencukupi bagi menampung kehidupan saya dan ibu termasuk kos sewa rumah RM80 sebulan,” ujarnya dengan menambah, keluarganya turut menerima bantuan RM150 setiap bulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Anak ketiga daripada empat beradik ini berkata, biarpun mereka miskin, namun dia tidak pernah menjadikan kesusahan itu sebagai penghalang untuk berjaya.

“Saya belajar dan terus belajar demi mengejar cita-cita menjadi seorang pendidik. Semoga impian ini akan tercapai,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Pada masa yang sama, Fatin Nur Aqilah memberitahu dirinya bukanlah pelajar cemerlang sebaliknya dia adalah pelajar yang lemah dalam akademik.

Namun, setelah menyertai Program Yayasan Petronas empower ECER Akademik (YPeA) Sesi 2022/2023, dia berjaya meningkatkan prestasi pembelajaran sekali gus mendapat tawaran ke UiTM, Shah Alam.

Ujarnya, dia bersyukur dan gembira kerana berpeluang menyertai program YPeA tersebut.

YPeA telah berjaya mencungkil potensi diri dan telah mendorong dia untuk terus berjuang meraih kejayaan cemerlang dalam SPM yang lalu.

Sementara itu, Pengurus Libat Urus Petronas Pantai Timur, Jefri Mohamed Zain berkata, seramai 200 pelajar tercorot di kawasan pedalaman Kuala Krai berjaya mencatat keputusan lulus 100 peratus pada SPM 2022 selepas mengikuti YPeA berkenaan.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp