
UM bantu cipta laluan kejayaan pelajar STPM SMK Telok Datok
Hayya ‘Alal Falah: Aspire to Inspire merupakan sebuah projek kesukarelawanan di bawah kluster pendidikan anjuran Sekretariat Sukarelawan Universiti Malaya (SEKRUM) yang dilaksanakan dalam bentuk siri jelajah sekolah di seluruh Malaysia.
Program ini bertujuan menyemai minat serta memberi galakan kepada para pelajar untuk melanjutkan pengajian ke peringkat pendidikan tinggi melalui pendedahan awal secara menyeluruh berkaitan hala tuju akademik dan kerjaya.
Fasa pertama program Hayya ‘Alal Falah: Aspire to Inspire ini telah berjaya dianjurkan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telok Datok, Banting, Selangor melibatkan seramai 298 orang pelajar laluan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
Program ini digerakkan oleh 35 orang sekretariat dengan sokongan 13 orang sukarelawan mahasiswa Universiti Malaya (UM), sekali gus mencerminkan komitmen berterusan mahasiswanya dalam menyumbang bakti kepada masyarakat melalui pendidikan berimpak tinggi.

Fokus utama penganjuran program ini adalah untuk membantu pelajar STPM merancang masa hadapan mereka secara lebih sistematik melalui pengisian yang dirangka dengan teliti hasil kerjasama erat antara pihak penganjur dan sekolah. Antara pengisian utama ialah Taklimat Pengisian UPU oleh pegawai jemputan serta Latihan Dalam Kumpulan (LDK) yang dikendalikan sepenuhnya oleh mahasiswa Universiti Malaya.
Majlis itu turut diserikan dengan kehadiran beberapa tetamu kehormat dan telah dirasmikan oleh Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Langat, Dr Saiful Adli Suhadak.
Sesi dimulakan dengan taklimat UPU yang disampaikan oleh Pegawai Kanan Kerajaan (Unit Pusat Data), Dr Rosli Mohd Aris. Beliau mengambil pendekatan interaktif dengan meminta para pelajar mencatat universiti pilihan serta kursus idaman masing-masing pada sehelai kertas A4.
Aktiviti ini menzahirkan variasi kecenderungan pelajar, di mana sebahagian daripada mereka telah mempunyai hala tuju yang jelas, manakala sebahagian yang lain masih kabur dalam menentukan kursus pengajian walaupun telah menyasarkan universiti tertentu.
Bertitik tolak dari situ, Rosli menasihatkan agar setiap pelajar cakna dengan syarat spesifik sesuatu kursus dan bukan sekadar mengejar nama universiti semata-mata.
Bagi memudahkan pemahaman pelajar, beliau terus memperkenalkan laman sesawang rasmi UPUOnline (upu.mohe.gov.my) sebagai rujukan primer dan membimbing mereka cara menyemak kelayakan menerusi modul e-Panduan, bagi memastikan pilihan yang dibuat adalah selari dengan kelayakan akademik masing-masing.
Menyentuh aspek teknikal pemilihan, beliau menekankan kepentingan skor merit, memandangkan sebanyak 1,088 program pengajian yang ditawarkan kepada lepasan STPM. Namun begitu, persaingan bagi kursus-kursus kritikal seperti Perubatan, Pergigian dan Perakaunan adalah sangat sengit dan memerlukan pencapaian merit yang tinggi.
Dalam masa yang sama, pelajar diingatkan agar tidak memandang enteng berkenaan Syarat Am kemasukan yang mewajibkan kepujian Bahasa Melayu dan lulus Sejarah di peringkat SPM serta memenuhi syarat MUET yang ditetapkan.
Sesi itu diakhiri dengan perkongsian oleh Rosli tentang strategi penting untuk meningkatkan peluang kejayaan dengan menggalakkan calon mengisi kesemua 12 pilihan yang disediakan dalam borang permohonan mengikut susunan keutamaan yang strategik.

Beliau turut mengingatkan para pelajar tentang kesilapan teknikal yang sering berlaku seperti kegagalan menekan butang ‘SIMPAN’ serta terlepas tempoh setuju terima tawaran yang hanya dibuka selama sembilan hari, yang boleh menyebabkan tawaran terbatal secara automatik.
Program diteruskan dengan sesi Latihan Dalam Kumpulan (LDK) yang merangkumi aktiviti Kahoot, Career Poly dan Shark Tank. Aktiviti Kahoot bertujuan menguji serta menambah pengetahuan am pelajar berkaitan dunia pekerjaan, manakala Career Poly ialah sebuah permainan papan interaktif yang direka khas, memberi pendedahan kepada pelbagai bidang kerjaya di samping membuka ruang perbincangan tentang aspirasi masa depan pelajar.
Sesi LDK diakhiri dengan aktiviti Shark Tank yang mencabar pelajar menghasilkan idea inovasi berdasarkan masalah yang diberikan, sekali gus mengasah pemikiran kreatif pelajar dan kemahiran berkomunikasi serta kerja berpasukan.
Majlis penutup telah disempurnakan oleh Saiful Adli Suhadak yang memuji inisiatif SEKRUM dalam membantu pelajar merancang masa depan menerusi bimbingan akademik dan kerjaya.
“Pihak Pejabat Pendidikan Daerah sentiasa menyokong program sebegini kerana ia memberi pendedahan yang jelas kepada pelajar tentang peluang melanjutkan pengajian ke universiti tempatan,” katanya.
Sokongan ini turut disambut baik oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Telok Datok, yang melihat penglibatan mahasiswa Universiti Malaya sebagai sumber inspirasi besar kepada pelajar serta menerima maklum balas positif daripada ibu bapa.
Secara keseluruhannya, program Hayya ‘Alal Falah: Aspire to Inspire Fasa 1 ini menjadi simbol kerjasama erat antara universiti, agensi kerajaan dan masyarakat dalam memacu kecemerlangan pendidikan.
Justeru, impak positif daripada program ini diharapkan dapat menyuntik semangat 298 orang pelajar terlibat untuk terus melangkah yakin ke menara gading demi masa depan yang lebih cerah.
Ringkasan AI
- Hayya 'Alal Falah: Aspire to Inspire merupakan sebuah projek kesukarelawanan anjuran Sekretariat Sukarelawan Universiti Malaya yang bertujuan meningkatkan minat pelajar ke pendidikan tinggi
- Program ini telah dilaksanakan di SMK Telok Datok, Banting, melibatkan 298 pelajar STPM
- Program digerakkan oleh 35 orang sekretariat dengan sokongan 13 sukarelawan dari Universiti Malaya
- Fokus utama adalah membantu pelajar STPM merancang masa depan mereka melalui sesi seperti Taklimat Pengisian UPU dan Latihan Dalam Kumpulan
- Majlis penutup dihadiri oleh Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Langat, dengan sokongan dari PIBG SMK Telok Datok