Peserta mengikuti aktiviti menarik dalam SULAM: Bantuan Asas Kecemasan, baru-baru ini.
Peserta mengikuti aktiviti menarik dalam SULAM: Bantuan Asas Kecemasan, baru-baru ini.

Didik murid menerusi program Bantuan Asas Kecemasan

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
27 Dec 2023 12:39pm

Seramai 215 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Sireh, Tanjong Karang, Selangor mengikuti Program Services Learning Malaysia-University for Society (SULAM): Bantuan Asas Kecemasan di Dewan Puan Sri Prof Datuk Dr Aishah Salleh, sekolah berkenaan, Sabtu lalu.

Program yang diadakan sempena Perkhemahan Unit Beruniform SK Sungai Sireh disertai murid-murid unit beruniform dari Persatuan Pengakap dan Tunas Kadet Remaja Sekolah (TKRS).

Menurut Guru Besar, Mislinda Safiie, program berilmiah sebegini perlu diteruskan akan datang dalam melahirkan generasi muda yang berani menghadapi situasi kecemasan sekali gus mempraktikkannya dengan cara sepatutnya.

SULAM: Bantuan Asas Kecemasan dianjurkan Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor SISPA) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor (UCS) dan disertai 33 Pegawai Kadet Kor SISPA UCS.

Program ini adalah salah satu kaedah pembelajaran melibatkan kombinasi objektif pembelajaran kursus modul SISPA dan sesi praktikal bersama komuniti setempat melalui strategi serampang dua mata.

Inilah kumpulan Pegawai Kadet Kor SISPA UCS yang bertanggungjawab mengendalikan program SULAM: Bantuan Asas Kecemasan berjalan lancar.
Inilah kumpulan Pegawai Kadet Kor SISPA UCS yang bertanggungjawab mengendalikan program SULAM: Bantuan Asas Kecemasan berjalan lancar.

Para anggota SISPA bukan sahaja mempelajari kursus secara teori bahkan dapat mengaplikasikan pembelajaran teori dalam kuliah untuk membantu komuniti melalui perkongsian ilmu dalam memperkasakan pengetahuan mengenai fungsi bantuan asas kecemasan.

Sementara itu, Kapten Bersekutu (PA), Razif Dasiman berkata, Kor SISPA UCS sangat komited terhadap visi dan matlamatnya yang menekankan kepentingan pendidikan berkualiti dan meningkatkan kemahiran insaniah.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, melalui sesi pembelajaran Bantuan Asas Kecemasan ini, Pegawai Kadet SISPA dapat meningkatkan daya keyakinan dalam berkomunikasi dengan masyarakat luar dan dapat meningkatkan daya pemikiran kreatif untuk menarik minat mempelajari sesuatu yang baru.

Mengulas lanjut, Razif berkata, program dimulakan dengan perkongsian simulasi ilmu asas kecemasan mengenai bantuan awal pernafasan atau Cardiopulmonary Resuscitation (CPR) kepada para peserta.

Selain itu, mereka juga mengikuti sesi pemindahan ilmu asas balutan kepada semua murid yang terlibat.

“Setiap murid dibahagikan kepada kumpulan kecil bersama fasilitator Kor SISPA dan diajar jenis-jenis balutan asas seperti balutan tangan, siku, kepala, kaki dan sebagainya secara praktikal.

“Ilmu balutan asas ini penting untuk dipelajari kerana kaedah balutan yang betul dapat menyelamatkan mangsa dari kesakitan sekali gus mengelakkan kecederaan menjadi lebih serius akibat kesilapan teknik balutan yang dibuat,” ujarnya.

No Image Caption

Seterusnya, kata Razif, slot perkongsian ilmu dan sesi praktikal dalam program itu dapat melatih anggota kadet berinteraksi secara langsung dan berkongsi ilmu dengan komuniti luar.

Dengan adanya program seperti ini, Razif mengharapkan agar semua Pegawai Kadet Kor SISPA UCS dapat memanfaatkan sepenuhnya masa dengan berinteraksi bersama masyarakat luar, memperkasakan cara berkomunikasi dan penyampaian ilmu agar lebih yakin serta bersedia dan berani dalam mengendalikan sesuatu program selaras dengan Moto Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) iaitu “SEDIA PANTAS BERINTEGRITI”.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp