Konsep ‘hipster’ kelas Cikgu Irfan suntik minat murid hadir ke sekolah

AZLEENDA SAHALUDINAZLEENDA SAHALUDIN
19 Sep 2023 10:08am

Tidak dinafikan persekitaran kelas yang cantik dan selesa sememangnya mampu menyuntik semangat murid-murid untuk hadir ke sekolah.

Walaupun memerlukan jumlah kos dan tenaga yang banyak dalam menceriakan setiap kelas di sekolah, namun ia juga dilihat sebagai satu pelaburan demi masa depan pendidikan anak-anak murid.

Cikgu Irfan bergambar kenangan bersama murid-muridnya.
Cikgu Irfan bergambar kenangan bersama murid-muridnya.

Namun lain pula ceritanya oleh seorang guru Sekolah Kebangsaan (SK) Methodist (ACS) Kampar, Perak, Cikgu Mohd Irfan Mustaqim Ariffin yang gigih dan bersemangat mencari barangan terpakai dalam mencantikkan dan menghias kelasnya.

Membawa tema ‘hispter’, kelas yang dahulunya boleh dikatakan tidak ceria kini tampil dengan wajah baru yang lebih cantik dengan berkonsepkan ringkas tetapi menarik.

“Kebanyakan barang yang digunakan untuk memberi wajah baru bagi kelas ini hanyalah menggunakan perabot lama di sekitar sekolah dan mengecat kembali dengan warna putih bagi memberi kesan ‘hipster’.

Artikel Berkaitan:

“Hiasan-hiasan lain seperti lukisan di dinding adalah hasil karya saya sendiri dan ada selebihnya dibeli di kedai Eco Shop,” ujarnya ketika dihubungi Sinar Bestari baru-baru ini.

Ketika ditanya mengenai penerimaan muridnya tentang wajah baru kelas berkenaan, Cikgu Irfan memberitahu, mereka sangat gembira malah menjadikan kelas itu seperti rumah sendiri.

Tambahnya yang juga merupakan guru Pendidikan Seni Visual (PSV), tidak hanya murid di kelasnya bahkan murid-murid kelas lain turut teruja untuk datang ke bilik darjah berkenaan bagi merasai sendiri pengalaman berada di kelas yang serba menarik itu.

“Sebelum ini, Majlis Daerah Kampar dan pensyarah Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) pernah membuat lawatan ke kelas saya.

Murid-murid kelihatan ceria dengan suasana kelas yang lebih santai dan menarik.
Murid-murid kelihatan ceria dengan suasana kelas yang lebih santai dan menarik.

“Tidak hanya itu, hasil kecantikan dan keceriaan kelas ini turut mendapat perhatian Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kinta Selatan Perak yang menyokong usaha seperti ini sebagai salah satu langkah dalam mewujudkan kemenjadian murid,” ujarnya lagi.

Jelas Cikgu Irfan, usaha menjadikan kelasnya semakin menarik itu tidak mengkhianati hasil apabila ia sedikit sebanyak membantu meningkatkan peratusan kehadiran murid ke sekolah.

“Kelas cantik, bersih dan menarik ini akan membuatkan murid-murid berasa seperti berada di rumah sendiri.

“Selain itu, susun atur kelas yang juga menyediakan sudut permaian menjadi salah satu penyumbang utama yang membolehkan mereka bermain di waktu lapang,” ujarnya.

Berkongsi berita gembira, kelas yang dikelolakan oleh Cikgu Irfan telah berjaya dinobatkan sebagai juara kategori Kelas Tercantik peringkat sekolah pada Khamis.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp