Abdul Halim Masnan
Abdul Halim Masnan

Silibus pendidikan Tahap Satu tidak setara usia murid?

AZLEENDA SAHALUDIN
20 Mar 2023 02:00pm
A
A
A

Isu silibus pembelajaran murid sekolah rendah Tahap Satu sepatutnya perlu mengambil kira tahap kemampuan mereka dan tidak bersifat terlalu sukar sehingga membebankan.

Ini kerana murid Tahun Satu boleh diibaratkan seperti kanak-kanak yang pertama kali menjejakkan kaki di sekolah di mana mereka perlu diberi pendedahan tentang penguasaan asas 3M iaitu membaca, menulis dan mengira.

Walaupun silibus pembelajaran menekankan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) sebagai usaha untuk melahirkan murid yang berfikiran kreatif dan inovatif namun perkara itu sedikit sebanyak mengundang kritikan disebabkan ia tidak setara dengan usia murid.

Apakah wajar sekiranya silibus pembelajaran khususnya murid Tahun Satu ini dikekalkan atau perlu dinilai dan dikaji semula agar ia bersesuaian dengan keupayaan mereka?

Kali ini Sinar Bestari kongsikan pendapat daripada Penyelaras Penerbitan, Jaringan Industri dan Komuniti Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan bapa murid Tahun Satu tentang perkara berkenaan.

Jom baca!

PdP murid Tahun Satu perlu dilakukan secara santai-santai

“Proses Pembelajaran dan Pengajaran (PdP) murid terutamanya Tahun Satu hendaklah dilakukan secara santai-santai sahaja seperti lagu nyanyian Faizal Tahir bertajuk Santai yang tular sekarang,” Itu antara pendapat Penyelaras NCDRC UPSI, Profesor Madya Abdul Halim Masnan.

Abdul Halim Masnan
Abdul Halim Masnan



Beliau berkata, silibus pembelajaran Tahap Satu perlu seimbang dengan keperluan berdasarkan kebolehan dan minat mereka apatah lagi sudah tiada tekanan untuk menghadapi peperiksaan besar seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Oleh itu, guru memainkan peranan dalam menjadikan setiap PdP di sekolah lebih menyeronokkan dengan mengutamakan kaedah yang bersesuaian keupayaan setiap murid.

“Jika dahulu, pembelajaran amat ditekankan kerana murid akan berdepan dengan UPSR yang menentukan hala tuju mereka yang bakal memasuki sekolah menengah.

“Namun sejak ia dimansuhkan pada 2021, guru-guru perlu mengambil tanggungjawab untuk menilai kaedah pendekatan baru bagi memastikan setiap murid tidak ketinggalan.

“Guru yang hebat adalah guru yang mampu mengatur aktiviti-aktiviti berbeza mengikut perkembangan kanak-kanak dan tidak terlalu berpandukan buku teks semata-mata,” ujarnya ketika dihubungi, baru-baru ini.

Tambah Abdul Halim, tiga tahun pertama murid di sekolah rendah adalah waktu di mana mereka masih mencari minat dan bakat untuk diketengahkan.

Bahkan pembelajaran di luar negara seperti Jepun juga tidak menitikberatkan penguasaan 3M kerana lebih mengutamakan unsur-unsur keinsanan, nilai murni dan disiplin bermula dari peringkat rendah.

Beliau memberitahu, penekanan nilai-nilai tersebut akan menjadikan murid lebih terbuka dan mudah untuk menghadapi proses pembelajaran kelak.

Jelasnya lagi, ibu bapa juga perlu cakna terhadap tujuan menghantar anak-anak ke sekolah dan tidak boleh mengukur kebolehan mereka sekiranya berjaya memperoleh nombor satu di dalam kelas.

Ibu bapa perlu sedar tujuan utama anak-anak ke sekolah adakah hanya untuk pandai atau menjadi orang berakhlak dalam masa yang sama kuasai serta fahami konteks pembelajaran.

Tiada istilah lambat atau cepat - Bapa

Isu silibus murid Tahap Satu ini turut mengundang kebimbangan ibu bapa terhadap kualiti pembelajaran anak-anak.

Mana tidaknya, silibus hari ini dilihat memberi tekanan kepada murid yang agak sukar memahami apatah lagi menterjemahkan jawapan dalam setiap to•pik.


Mohd Izzat bersama isteri dan dua anaknya.
Mohd Izzat bersama isteri dan dua anaknya.



Bapa kepada murid Tahun Satu, Mohd Izzat Mohd Yusof berkata, dia agak terkejut apabila melihat topik-topik yang terkandung di dalam buku teks anaknya.

Baginya, topik berkenaan agak mencabar untuk murid seusia anaknya untuk menguasai lebih-lebih lagi mereka baru pertama kali bersekolah.

Artikel Berkaitan:

Diana Durriyatul Jannah Mohd Izzat bakal memasuki Tahun Satu bagi sesi persekolahan baru tidak lama lagi.
Diana Durriyatul Jannah Mohd Izzat bakal memasuki Tahun Satu bagi sesi persekolahan baru tidak lama lagi.



“Murid Tahun Satu ini adalah transisi daripada tadika ke sekolah rendah.

“Jadi saya berpendapat mereka perlu diberi ruang dan peluang untuk menyesuaikan diri terlebih dahulu dengan keadaan di sekolah sebelum diberi pendedahan tentang sesuatu pembelajaran.

“Saya turut merasakan tiada istilah lambat atau cepat sekiranya murid khususnya Tahun Satu belum menguasai sepenuhnya apa yang dipelajari di sekolah,” ujar bapa kepada Diana Durriyatul Jannah Mohd Izzat yang bakal memasuki Tahun Satu sesi 2023/2024.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok