SSeM menjadi tapak semaian kecemerlangan pendidikan kesenian yang beridentiti di peringkat antarabangsa.
SSeM menjadi tapak semaian kecemerlangan pendidikan kesenian yang beridentiti di peringkat antarabangsa.

Sekolah Seni Malaysia platform terbaik cungkil potensi pelajar

Terapkan pendidikan formal dalam melahirkan generasi berilmu dan berbakat

AZLEENDA SAHALUDINAZLEENDA SAHALUDIN
30 Oct 2023 10:52am

“Kewujudan Sekolah Seni Malaysia (SSeM) ini mempunyai visi dan misi iaitu untuk melahirkan insan budayawan bertaraf dunia selain memupuk bakat dan mengembangkan potensi kesenian dalam kalangan pelajar.”

Itu antara kata-kata yang diutarakan Pengetua Sekolah Seni Malaysia Perak (SSeMP), Zuraini Abdullah selain turut menekankan kepentingan ilmu dalam usaha mencapai visi dan misi tersebut.

Kata Cikgu Zuraini, kesenian merupakan salah satu bidang yang luas dengan kemunculan ramai pelapis muda melalui pelbagai program dan pertandingan pencarian bakat yang dianjurkan oleh beberapa pihak.

Namun, tidak kesemuanya mampu untuk kekal lama dalam industri disebabkan beberapa faktor antaranya tidak didedahkan dengan pendidikan formal yang sepatutnya menjadi perkara utama diterapkan kepada para pelajar sekolah.

Justeru, kata beliau, kewujudan SSeM sangat membantu pelajar yang berbakat dalam bidang kesenian untuk menyerlahkan potensi mereka di samping juga mendapatkan pendidikan formal bagi mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan besar seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Tambah Cikgu Zuraini, tidak hanya memfokuskan bakat pelajar, sekolah seni juga bertanggungjawab dalam menerapkan nilai-nilai positif baik dari sudut akhlak dan juga agama.

 Cikgu Zuraini
Cikgu Zuraini



Ini adalah penting sebagai perisai persediaan mereka sebelum melangkah keluar dari sekolah dan memasuki industri kesenian agar tidak mudah terjebak dengan gejala negatif yang akhirnya merosakkan diri.

“Seperti yang kita lihat, beberapa artis contohnya di Korea Selatan ramai yang berjaya namun ada juga sesetengah daripada mereka mengambil jalan mudah dengan membunuh diri.

“Tindakan mereka ini adalah kerana jiwa yang kosong dan tidak tahu visi dalam bidang seni ini selain daripada duit.

Artikel Berkaitan:

“Untuk itu, kita sebagai guru-guru di setiap sekolah seni akan menerapkan pelajar dari sudut akhlak, sikap dan ilmu agar jiwa mereka yang kosong diisikan dengan nilai agama,” ujarnya ketika dihubungi Sinar Bestari baru-baru ini.

Mengulas lanjut tentang sistem pendidikan di sekolah seni, Cikgu Zuraini memberitahu, ia terbahagi kepada dua bidang iaitu akademik dan kesenian.

Melalui bidang kesenian, pelajar akan didedahkan dengan empat cabang utama iaitu Muzik, Tarian, Teater dan Seni Visual.

“Misalnya Teater, pelajar akan mempelajari beberapa perkara seperti lakonan, penulisan skrip dan produktiviti seni persembahan.

“Dari sini, ingin saya jelaskan bahawa melalui empat cabang utama kesenian, pelajar akan diberi pendedahan tentang beberapa perkara lain dengan lebih mendalam dan teliti,” ungkapnya.

Sementara itu, menurut Pengetua Sekolah Seni Malaysia Johor (SSeMJ), Tee Tiam Chai, pengoperasian SSeM dengan berkonsepkan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) adalah sebagai tempat menyediakan peluang dan ruang kepada anak-anak muda untuk berkarya dalam bidang seni dan tidak hanya bergantung kepada kerjaya tertentu semata-mata.

Kata beliau, melalui pendedahan ilmu sama ada bidang akademik dan kesenian, ia sedikit sebanyak membantu mereka membentuk kerjaya masing-masing dalam pelbagai disiplin pada masa akan datang.

“SSeMJ sebagai sebuah institusi pendidikan formal satu sesi yang menyediakan kemudahan menggilap dan menggarap potensi serta bakat diri generasi pelajar untuk menceburi aktiviti kesenian dan kebudayaan tanah air.

Tiam Chai
Tiam Chai



“Tidak hanya itu, ia juga memberi peluang pendidikan untuk memperkembang potensi individu melalui program pendidikan bersepadu yang merangkumi aspek intelek, emosi, jasmani, rohani dan spiritual,” ujarnya.

Bercerita lanjut tentang laluan pendidikan pelajar selepas tamat persekolahan di sekolah seni, Cikgu Tiam Chai memberitahu, mereka berpeluang menyambung pengajian ke peringkat sijil, diploma dan ijazah di jabatan dan agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia; Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA); institut pendidikan tinggi awam dan swasta (IPTA/IPTS) serta lain-lain institusi pendidikan pilihan pelajar.

ANEKDOT

Senarai Sekolah Seni MalaysiaSekolah Seni Malaysia Johor (SSeMJ)

Sekolah Seni Malaysia Perak (SSeMP)

Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur (SSeMKL)

Sekolah Seni Malaysia Sarawak (SSeMS)

Program Pendidikan Seni, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Elopura, Sabah

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp