Sekolah ‘projek khas’ punca ketidakseimbangan pendidikan di negara - Dr Anuar Ahmad

06 Sep 2023 11:40am



Pengkategorian sekolah berdasarkan beberapa aspek termasuk kecemerlangan dan berprestasi tinggi menjadi punca kepada ketidakseimbangan pendidikan di negara ini.

Perkara tersebut disuarakan Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad yang juga berpendapat, ia meluaskan jurang pendidikan yang selama ini telah terpisah mengikut kaum dan aliran agama.

Jelas beliau, terdapat sekolah dilabelkan berprestasi tinggi yang mengumpulkan murid cemerlang diberikan berbagai kemudahan serba lengkap disebabkan telah dijenamakan sebagai 'projek khas'.

Ujar Anuar, perkara tersebut kemudiannya menimbulkan naratif perlumbaan dalam kalangan ibu bapa kerana menyekolahkan anak-anak mereka di sekolah berkenaan.

“Logik untuk ibu bapa berebut mahu anak-anak mereka bersekolah di sekolah kasta tinggi tersebut dan siapa yang tak mahu anaknya belajar di sekolah yang baik?

“Akhirnya sekolah kasta rendah di dalam kawasan atau daerah yang sama tidak dapat kemudahan sebaik sekolah berprestasi tinggi ini.

“Tanpa bajet yang mencukupi, sekolah-sekolah 'kasta rendah' ini semakin lama semakin uzur dan daif,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Selasa.

Anuar menambah, sepatutnya semua sekolah dilayan secara adil dari segi peruntukan bagi mewujudkan kemudahan.

Artikel Berkaitan:


Jelas beliau, dengan kelompongan berhubung perkara tersebut, ia memberi impak negatif terhadap perkembangan pelajar di sekolah ‘kasta rendah’ berkenaan.

Justeru, idea projek pengkategorian sekolah khas itu sewajarnya ditamatkan dan tumpuan terhadap menyediakan pendidikan berkualiti kepada pelajar harus diberikan.

“Semua murid tidak kira mereka pandai atau lemah, kaya atau miskin, sihat atau orang kurang upaya (OKU) berhak mendapat pendidikan yang sama berkualiti dan janganlah ada dasar atau budaya dalam pendidikan yang membeza-bezakan mereka,” katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp