Herba tempatan Sabah jadi ramuan penyelidik hasilkan produk organik
Herba tempatan Sabah berpotensi dibangunkan dalam industri produk kecantikan dan kesihatan organik yang lebih selamat dan bebas bahan kimia berbahaya.
Ini dibuktikan seorang penyelidik Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang berjaya menghasilkan produk kecantikan dan kesihatan organik hasil penyelidikan terhadap buah tempatan durian belanda dan sarang burung.
Menurut Pakar Biokimia Institut Penyelidikan Bioteknologi (IPB) UMS, Profesor Madya Dr Md Shafiquzzaman Siddique, idea penyelidikan produk kesihatan organik tercetus pada tahun 2017 berikutan isu pengharaman produk kosmetik tempatan akibat penggunaan bahan kimia bahaya dan terlarang ketika itu.
“Produk kosmetik sintetik akan merubah kulit menjadi kelihatan cantik tapi penggunaan jangka panjang boleh mengakibatkan kanser. Kajian Jacobs Et Al (2018) melaporkan sebanyak 41 peratus penyebab kanser adalah bahan kosmetik.
“Justeru saya telah menjalankan penyelidikan terhadap beberapa herba tempatan Sabah dan berjaya menghasilkan produk kecantikan dan kesihatan organik yang dikenali sebagai Vivify,” kata Md Shafiquzzaman, baru-baru ini.
Beliau memaklumkan, durian belanda dan sarang burung dipilih sebagai ramuan utama penghasilan produk tersebut.
“Ini kerana durian belanda mengandungi sebatian bio-aktif yang antara lain berfungsi sebagai anti-oksidan.
“Manakala, sarang burung mengandungi kolagen yang terkenal dengan manfaat untuk kecantikan kulit.
“UMS akan terus membuat penyelidikan terhadap herba-herba tempatan di Sabah bagi mengenal pasti khasiat dan manfaatnya kepada kesihatan,” ujarnya yang juga diiktiraf oleh Stanford University sebagai antara dua peratus Saintis Terbaik Dunia.
Terdahulu, antara produk kecantikan dan kesihatan organik yang dihasilkan Md Shafiquzzaman termasuklah syampu, pencuci muka, sabun mandi dan teh minuman.
Artikel berkaitan
Kerjasama pensyarah, pelajar PSMZA berjaya hasilkan jam matahari
Penyelidik cipta dron pelbagai fungsi, inovasi tingkat produktiviti pertanian
Aktiviti kokurikulum bantu bentuk kemahiran insaniah pelajar