Untitled (1)
Untitled (1)

Pelajar UMK jana pendapatan 5 angka jual busana muslim

Nor Azma  Muhamat Laila
03 Aug 2021 04:01pm
A
A
A

Biarpun tanpa produk sendiri, pelajar Ijazah Sarjana Muda Senibina Dalaman, Fakulti Senibina dan Ekistik (FSE), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Muhammad Zulhilmi Sidek, 22, berjaya membuktikan perniagaan dropship mampu memperoleh pendapatan sehingga mencecah lima angka.

Menurut Zulhilmi, idea untuk memulakan perniagaan dropship dengan menjual produk orang lain telah bermula pada tahun 2017 bertujuan sekadar untuk menambah pendapatan sampingan.

Katanya, perniagaan dropship paling mudah untuk memperoleh keuntungan kerana kaedah ini kurang risiko, tiada modal, tanpa simpanan stok dan hanya perlu fokus kepada pemasaran secara dalam talian di medium seperti Facebook, Instagram dan Whatsapp.

“Semua urus niaga dihujung jari sahaja iaitu ambil pesanan daripada pelanggan manakala urusan pengeposan barang 100 peratus diuruskan oleh pengusaha produk.

“Alhamdulillah, walaupun baharu sahaja memulakan perniagaan secara dropship, saya berjaya memperoleh jualan sebanyak RM50,000 hanya dengan membuat pemasaran dan promosi menjual produk pakaian muslim jenama Al Hafiz Exclusive semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 tahun lepas.

“Menerusi kejayaan itu, saya telah dilantik sebagai dropship rasmi oleh syarikat pengeluar produk jenama tersebut selepas berjaya mencatat jualan yang tinggi,” kata Zulhilmi.

Kongsi Zulhilmi lagi, menceburi perniagaan busana muslim ternyata berbaloi kerana fesyen itu semakin menjadi pilihan pelanggan.

“Perkembangan dunia fesyen terutamanya permintaan untuk busana muslim juga semakin tinggi kerana pakaian ini bukan sahaja dipakai pada sambutan hari raya tetapi boleh digunakan sebagai pakaian formal ke majlis-majlis kenduri dan keramaian.

antara barang jualan zulhilmi UMK Antara produk yang dijual oleh Zulhilmi (UMK).

“Melihat kepada potensi besar industri pakaian muslim, saya mula menubuhkan sebuah syarikat berdaftar iaitu Al Kahfi Exclusive Ventures pada tahun 2021 untuk mendapat hak eksklusif sebagai dropship kepada tiga syarikat lain iaitu Medina Exclusive, Muhammad Exclusive dan Imare Collection bagi mempelbagaikan variasi untuk menepati kehendak pasaran dan pembeli,” ujarnya lagi.

Anak muda itu melihat bahawa pakaian fesyen muslim bukan sahaja berfokus kepada golongan lelaki sahaja malahan syarikatnya juga turut menerima tempahan daripada pelanggan wanita.

Tuturnya lagi, walaupun berbeza dengan bidang pengajian yang dipelajari namun sedikit pun tidak menghalang semangatnya untuk merealisasikan cita-citanya sejak dari kecil untuk membuka sebuah perniagaan suatu hari nanti.

Zulhilmi tidak menafikan, ramai usahawan dan ahli perniagaan terkesan dengan pandemik Covid-19 yang berlanjutan sehingga kerajaan melaksanakan PKP 3.0 sekali gus telah menjejaskan perniagaan terutamanya membabitkan butik pakaian.

Katanya, biarpun aktiviti perniagaan pakaian ditutup pada tempoh PKP namun dia perlu bijak memanfaatkan platform media sosial secara konsisten.

"Saya bersyukur kerana dapat memanfaatkan pemasaran menerusi media sosial sekali gus membantu syarikat Al Kahfi Exclusive mendapat perhatian dan sambutan daripada pelanggan.

"Saya sentiasa mengemaskini maklumat koleksi pakaian terkini serta memuat naik maklum balas daripada pelanggan tentang kualiti dan keselesaan produk yang boleh menepati citarasa pelanggan.

"Selain itu, saya sentiasa mencari idea untuk menambah koleksi pakaian muslim seperti kurta jenis biasa mahupun slimfit dan baju melayu daripada segi pilihan warna dan saiz bersesuaian dengan peringkat umur iaitu kanak-kanak serta dewasa.

Beliau berpendapat, tidak mustahil satu hari nanti Al Kahfi Exclusive mampu menempa nama sebagai jenama fesyen muslim nombor satu di Malaysia setanding dengan jenama terkenal seperti Elrah Exclusive dan Jakel.

"Bercakap mengenai perancangan masa depan, saya bercadang untuk mengumpul dana bagi mengembangkan perniagaan dan penghasilan produk sendiri," kongsi Zulhilmi.

Artikel berkaitan 

Perniagaan dalam talian dapat tempat di Malaysia, pelajar perlu miliki kemahiran asas dunia perniagaan dalam talian

10 marketplace yang boleh pasarkan produk anda

Pendekatan PdPR perlu diperkukuh bagi atasi masalah sedia ada – Pensyarah UMK


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok