HFMD, berikut langkah pencegahan yang boleh diikuti
Penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) yang menyerang kanak-kanak berusia enam tahun ke bawah adalah salah satu virus daripada kumpulan enterovirus.
Ia menular melalui sentuhan secara langsung dengan air liur, cecair hidung, lepuh (blister) serta najis kanak-kanak yang dijangkiti selain boleh berjangkit melalui sentuhan pada alatan permainan atau permukaan yang tercemar dengan virus berkenaan.
Justeru itu, ruang permainan tertutup (indoor playground) menjadi salah satu tempat tularnya virus HFMD sekiranya tidak menitikberatkan aspek kebersihan.
Memetik satu ciapan di laman sosial Twitter Kementerian Kesihatan (KKM), mereka meminta pengusaha taman permainan tertutup dan Persatuan Pengurusan Kompleks Malaysia (PPKM) agar sentiasa cakna dan menjaga kebersihan kawasan persekitaran.
Ini untuk memastikan kebersihan dan kesihatan kanak-kanak terjamin memandangkan virus HFMD menyerang golongan tersebut dan jika tidak dikawal daripada awal ia boleh menjadi lebih parah.
Sehubungan itu, Sinar Bestari ingin berkongsi langkah pencegahan yang boleh dilakukan tiga golongan utama iaitu ibu bapa, pengusaha atau pengasuh taman didikan kanak-kanak (tadika), taska dan pengusaha taman permainan tertutup serta PPKM bagi mencegah wabak HFMD daripada terus berleluasa.
Jom baca!
Langkah pencegahan HFMD bagi ibu bapa.
1) Tidak membawa anak-anak ke tempat awam, sekolah, taska, tadika atau pusat asuhan sekiranya bergejala.
2) Sentiasa mencuci tangan dengan sabun dan air bersih selepas ke tandas atau selepas menukar lampin.
3) Membersihkan permainan anak-anak serta lantai rumah termasuklah tandas dengan menggunakan larutan campuran klorin.
4) Pastikan lampin dibuang dengan cara yang betul dan bersih.
Langkah pencegahan HFMD bagi pengusaha atau pengasuh taska dan tadika.
1) Memastikan kebersihan kawasan premis sentiasa dijaga termasuklah peralatan dan perkakasan yang digunakan oleh kanak-kanak.
2) Membuat saringan HFMD di pintu masuk dan memastikan kanak-kanak yang bergejala tidak memasuki kawasan sekolah.
3) Sentiasa mencuci tangan selepas menguruskan seorang kanak-kanak sebelum mengendalikan kanak-kanak yang lain.
4) Amalkan langkah-langkah pencegahan penyakit berjangkit seperti memakai pelitup muka dan mengehadkan pergaulan rapat.
5) Lampin pakai buang hendaklah dibuang di dalam tong sampah yang bertutup.
6) Melaporkan kluster HFMD kepada pejabatan kesihatan daerah yang berhampiran.
Langkah pencegahan HFMD bagi pengusaha taman permainan tertutup dan PPKM.
1) Melalukan saringan di pintu masuk taman permainan tertutup.
2) Membersihkan premis dengan menggunakan pembasmi kuman dua kali sehari.
3) Meletakkan papan peringatan atau poster risiko jangkitan HFMD di pintu masuk.
4) Menyediakan kemudahan cuci tangan di pintu masuk.