Jangan bersedih lagi! Lulusan SPM mampu teruskan pengajian ke IPT menerusi manfaat organisasi wakaf
Dengan pengumuman keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 pada Khamis, pasti ramai yang teruja dengan pelbagai peluang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi seperti matrikulasi, asasi, diploma ataupun yang setara dengannya.
Berdasarkan statistik semasa, 35.16 peratus atau 115,939 lepasan SPM 2020 dan 48.74 peratus (180,680 lepasan SPM 2021) tidak melanjutkan pembelajaran ke peringkat lebih tinggi.
Kos sara hidup dan cabaran kewangan telah dikenal pasti antara penyebab ramai lulusan SPM 2020 dan 2021 tidak menyambung pengajian ke peringkat seterusnya.
Tambahan pula, trend golongan muda masa kini tidak berminat untuk belajar kerana cenderung menambah pendapatan dengan cara menyertai perkhidmatan grab atau FoodPanda, mencipta kandungan TikTok dan YouTube serta berniaga dalam talian.
Situasi ini semakin ketara sejak negara dilanda pandemik Covid-19 yang mengakibatkan sebilangan rakyat hilang pekerjaan dan punca pendapatan terjejas.
Sementara itu, seramai 403,637 calon SPM 2022 telah menduduki peperiksaan tersebut Mac lalu.
Adakah sebahagian mereka akan turut termasuk dalam statistik tidak meneruskan pengajian seperti tahun sebelumnya?
Apakah masa depan negara terjamin jika situasi ini berulang kepada lulusan SPM 2022 yang baru sahaja menerima keputusan masing-masing?
Adalah malang bagi negara dan rakyatnya jika majoriti generasi muda mengambil keputusan untuk tidak menyambung pelajaran kerana dipengaruhi oleh kebimbangan terhadap yuran pengajian dan kos sara hidup di institut pengajian tinggi (IPT).
Begitu juga halnya jika kecenderungan mencari peluang pekerjaan dan membina sumber pendapatan segera untuk diri dan keluarga disebabkan oleh ketiadaan sistem dan proses penyampaian bantuan yang sewajarnya bagi golongan yang memerlukan.
Justeru, artikel ini cuba mengajukan suatu pendekatan yang diyakini dapat merungkai kebimbangan golongan muda dalam isu menyambung pengajian di IPT.
Berikut kupasannya!
Wakaf pendidikan tinggi
Islam menganjurkan umatnya saling bantu membantu antara satu sama lain terutamanya dalam hal kebajikan.
Wakaf, zakat dan sedekah adalah saluran yang tersedia untuk dimanfaatkan oleh seluruh umat Islam bagi membantu saudara seagama menghadapi cabaran kehidupan.
Di sini, penulisan akan memberikan tumpuan kepada wakaf dan bagaimana ia mampu membantu lulusan SPM melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.
Wakaf merupakan ibadah yang disempurnakan secara menyerahkan harta yang dimiliki untuk kegunaan umat Islam dengan niat untuk mendekatkan diri kepada ALLAH SWT.
Tidak dapat dinafikan, wakaf di samping zakat dan infak serta sedekah adalah unsur terpenting dalam menjamin kesejahteraan umum masyarakat Islam dalam mencapai keadilan sosio-ekonomi.
Perkembangan zakat telah berlaku dengan pesat dari sudut jumlah pembayar, saiz kutipan dan kelancaran agihannya kepada semua lapan asnaf penerima zakat.
Bagaimanapun, pemberian zakat hanya terhad kepada golongan yang layak menerimanya berdasarkan lapan kategori ditetapkan oleh Lembaga Zakat.
Sekarang, tibalah masanya untuk wakaf diperkasakan di semua peringkat sama ada peringkat masyarakat setempat dalam bentuk manfaat masjid, sekolah agama dan tanah perkuburan hinggalah ke peringkat IPT dalam bentuk manfaat sara hidup pelajar, yuran pengajian, buku rujukan dan pembiayaan aktiviti penyelidikan.
Wakaf terbahagi kepada dua kategori iaitu wakaf am atau umum dan wakaf khas.
Keistimewaan wakaf am ialah manfaatnya boleh dinikmati oleh seluruh lapisan masyarakat tanpa mengira agama mahu pun status pendapatan.
Ini bermaksud, setiap individu rakyat Malaysia sama ada golongan B40, M40 atau T20 dialu-alukan menggunakan atau menikmati manfaat wakaf am.
Bagi wakaf khas pula, individu atau kumpulan tertentu layak menerima manfaat wakaf selagi mereka terangkum di dalam kumpulan penerima manfaat wakat (mauquf alaih) seperti mana yang ditetapkan pewakaf (waqif).
Wakaf pendidikan tinggi boleh menjadi salah satu solusi bagi meringankan masalah dan cabaran kewangan yang dihadapi lulusan SPM.
Ia adalah kesinambungan kepada wakaf pendidikan yang tradisinya boleh dijejak hingga ke institusi seperti pondok pengajian, madrasah, sekolah agama rakyat dan sekolah agama negeri.
Wakaf pendidikan tinggi berkisar mengenai pelaksanaan wakaf bertujuan menjana manfaat kepada semua pihak berkepentingan yang ditetapkan sebagai penerima manfaat wakaf (mauquf alaih) antaranya mahasiswa, pensyarah, penyelidik, pegawai dan kakitangan universiti serta keluarga mereka.
Organisasi wakaf di IPT
IPT awam (IPTA) telah mengalami kekurangan dana apabila kerajaan menghadkan jumlah peruntukan tahunan kepada setiap kementerian termasuklah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
IPT kini diminta untuk mencari dana alternatif bagi menanggung kos pengoperasian yang semakin tinggi.
Selaras dengan gagasan KPT dalam Program Transformasi Universiti untuk memastikan IPTA mempunyai keupayaan menjana pendapatan sendiri melalui wakaf, hampir semua universiti awam telah memperkasakan organisasi wakaf dan zakat masing-masing.
Gagasan ini turut disambut baik oleh kebanyakan universiti swasta dengan penubuhan institusi wakaf dan zakat yang lebih teratur dan berdaya saing.
Sebagai contoh, Universiti Islam Antrabangsa Malaysia (UIAM) telah menubuhkan IIUM Endowment Fund pada1999 untuk menyelaras khidmat bantuan khusus untuk penuntut miskin dan memerlukan dalam usaha meringankan beban kos sara hidup di kampus.
Universiti Putra Malaysia (UPM) pula mempunyai Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN) sebagai wadah membantu mahasiswa yang memerlukan.
Begitu juga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan Dana Wakaf Ilmu; Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan Pusat Wakaf dan Zakat; Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dengan Pejabat Wakaf dan Infaq dan Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan Bahagian Zakat Wakaf dan Endowmen (BZWE).
Seterusnya, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) juga tidak ketinggalan dalam memperkasakan agenda wakafnya melalui Pusat Wakaf dan Endowmen UTHM serta Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan Dana Wakaf Pendidikan UTM.
Universiti swasta seperti Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) yang baharu dinaik taraf ke sebuah universiti penuh pada September 2022 telah menubuhkan Pusat Zakat dan Wakaf KUIS bertujuan menjana manfaat wakaf dan agihan zakat kepada semua penuntut yang memerlukan bantuan bagi meneruskan kehidupan dan pengajian di kampus.
Selain itu, Kolej Universiti Bestari yang terletak di Bandar Permaisuri, Setiu, Terengganu juga begitu aktif memanfaatkan dana wakaf bagi membantu lulusan SPM dalam kalangan golongan miskin dan anak-anak yatim mendapatkan peluang menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Dalam erti kata lain, semua IPT di negara ini telah mengorak langkah melalui dana wakaf dan semestinya zakat untuk membantu pelajar-pelajar meneruskan usaha mencapai cita-cita murni berjaya dalam pengajian masing-masing.
Oleh itu, semua lulusan SPM 2022 tidaklah perlu berasa terlalu bimbang dengan kos pengajian sehingga mengambil keputusan untuk tidak menyambung pengajian ke IPT.
Apa yang penting ialah menguruskan permohonan kemasukan ke IPT melalui Unit Pusat Universiti (UPU) bagi kemasukan ke universiti awam atau terus memohon kemasukan ke universiti swasta melalui laman sesawang yang ditetapkan universiti.
Setelah menerima surat tawaran, calon pelajar universiti dicadangkan untuk terus menghubungi bahagian wakaf dan zakat universiti bagi mendapatkan maklumat mengenai bentuk-bentuk bantuan yang disediakan untuk mereka berdaftar.
Dengan cara ini, keresahan dan kebimbangan lulusan SPM 2022 dan calon pelajar universiti berkaitan kemampuan kewangan mereka sepanjang pengajian di universiti terpilih dapat dikurangkan.
Manfaat wakaf untuk lulusan SPM di IPT
Kajian Professor Muhammad Usman dan Professor Madya Asmak Ab Rahman (2023) telah membuktikan manfaat wakaf telah tersebar luas di peringkat IPT Malaysia.
Sungguhpun menghadapi kesukaran untuk mengumpulkan jumlah dana wakaf yang kritikal bagi menjamin kelestarian manfaatnya, pihak pengurusan institusi wakaf di universiti telah berjaya menguruskan dana dan manfaat wakaf dengan baik merangkumi pelbagai program kebajikan, penjagaan kesihatan dan pembiayaan aktiviti akademik dan pengajian penuntut di universiti.
Contoh manfaat wakaf yang disalurkan kepada mahasiswa antaranya ialah pembiayaan penginapan asrama, pembiayaan yuran pengajian, sumbangan biasiswa pengajian (penuh atau separuh), pembelian buku rujukan, pembiayaan aktiviti penyelidikan dan sebagainya.
Pelbagai usaha telah dan sedang dilaksanakan oleh semua pusat wakaf IPT untuk menjana harta wakaf (mauquf) dan menguruskan manfaat wakaf demi kesejahteraan penerima manfaat wakaf (mauquf alaih) yang sebahagian besarnya terdiri daripada pelajar berdaftar diperingkat pra dan pasca siswazah.
Sehingga kini dana wakaf yang berjaya dikumpulkan oleh Pusat Zakat dan Wakaf KUIS ialah hampir RM2 juta di mana sebahagian besar sumbangan dana wakaf diperolehi melalui skim potongan gaji bulanan pensyarah, pegawai dan kakitangan KUIS sendiri.
Sebahagian lagi dana wakaf yang berjaya dikumpul oleh KUIS datangnya dari orang awam dan institusi korporat yang prihatin kepada kebajikan mahasiswa KUIS.
Saluran komunikasi wakaf juga diwujudkan seluas-luasnya termasuklah mewujudkan laman sesawang khusus, Facebook dan Telegram Pusat Zakat dan Wakaf KUIS bagi memastikan penyampaian maklumat yang cekap kepada semua pihak berkepentingan.
Sehubungan itu, lulusan SPM 2022 yang menyambung pengajian di mana-mana IPT Malaysia boleh mengharapkan manfaat wakaf untuk membantu meringankan beban kewangan yang ditanggung oleh diri sendiri dan keluarga.
Sentiasa berkomunikasi
Lulusan SPM 2022 atau dari tahun-tahun sebelumnya yang menyambung pengajian di IPT negara ini disarankan untuk sentiasa berkomunikasi dengan Hal Ehwal Mahasiswa serta Pengurusan Wakaf dan Zakat di universiti masing-masing dari semasa ke semasa.
Setiap kesukaran yang dihadapi pelajar pastinya akan cuba dirungkai oleh pihak yang dipertanggungjawabkan mengurus institusi wakaf universiti demi kebaikan dan masa depan mereka.
Selain itu, pelajar juga disarankan agar sentiasa peka dengan pelbagai bantuan yang disediakan oleh pihak kerajaan negeri dan juga Majlis Agama Islam Negeri dalam kerangka menyokong pengajian mereka di IPT.
Penglibatan masyarakat umum sebagai pewakaf secara aktif dalam ibadah wakaf, terutamanya dengan menyalurkan sumbangan wakaf tunai, wakaf harta kekal dan seumpamanya akan mempercepatkan setiap institusi wakaf di IPT mencapai sasaran mewujudkan jumlah dana dan harta wakaf yang signifikan.
Pencapaian ini pastinya akan membolehkan pihak pengurusan wakaf pendidikan tinggi di IPT melabur dana wakaf tunai dan membangunkan harta wakaf secara lebih cekap dan efisien contohnya ke dalam projek pembangunan fizikal universiti dan pembangunan pelajarnya.
Maklumat Penulis
1) Pensyarah Kanan, Jabatan Ekonomi dan Penguruan, Fakulti Pengurusan dan Muamalah, KUIS, Mokthar Ismail
2) Pensyarah Kanan, Jabatan Ekonomi dan Penguruan, Fakulti Pengurusan dan Muamalah, KUIS, Dr Latifa Bibi Musafar Hameed