utem-mou-amic
utem-mou-amic

Jalinan kerjasama UTeM dan AMIC terokai teknologi aeroangkasa dunia

Adlan Farhan Azwan
20 Sep 2022 03:37pm
A
A
A

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) baru-baru ini telah menjalin kerjasama strategik dengan Pusat Inovasi Aeroangkasa Malaysia (AMIC) bagi berkongsi kepakaran dalam penerokaan teknologi aeroangkasa dunia.

Majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara UTeM dan AMIC yang telah diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) itu adalah bersempena Malaysia Aerospace Summit 2022 (MyAERO’22).

Menurut Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTeM, Profesor Ir Dr Ghazali Omar, melalui pemeteraian MoU tersebut, UTeM menerusi Pusat Pembuatan Termaju (AMC) merangka kerjasama strategik dengan AMIC membabitkan penubuhan makmal perindustrian bagi menjalankan aktiviti pembangunan komposit aeroangkasa.

Jelasnya, usaha sama tersebut bakal menyaksikan wujudnya sebuah makmal industri-akademik yang pertama di Malaysia dalam pengkhususan bidang aeroangkasa termasuklah perkongsian kepakaran serta pemindahan ilmu dan teknologi antara kedua-dua pihak.

“MoU ini juga akan membuka peluang kepada UTeM untuk mengukuhkan kedudukan sebagai peneraju utama teknologi pembuatan termaju seterusnya menjadi hab penyelidikan dalam bidang aeroangkasa di Malaysia,” kata beliau dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Sementara itu, Pengerusi AMIC, Tan Sri Dr Ir Ahmad Tajudin Ali pula berkata, beliau yakin kerjasama antara UTeM dan pihaknya mempunyai potensi berimpak tinggi dengan sentiasa memberi penekanan yang kuat terhadap nilai inovasi teknologi dan pendidikan.

“AMIC sentiasa bekerjasama rapat dengan universiti selari dengan usaha kerajaan dalam menggiatkan pertumbuhan industri aeroangkasa menerusi pelbagai inisiatif yang sedang dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12(RMK12),” jelas beliau.

Persidangan MyAERO’22 menghimpunkan pemain utama dalam industri aeroangkasa tempatan dan luar negara dengan objektif mengangkat potensi Malaysia sebagai pusat serantau dan bersepadu sekaligus menzahirkan peranan penting dalam rantaian bekalan industri aeroangkasa global.

Artikel berkaitan

Kemahiran pengendalian dron bukan sekadar hobi, kini profesion dalam pelbagai industri

Anak kelahiran Muar, Florence Tan dilantik Timbalan Ketua Juruteknologi di Nasa, inspirasi kepada pelajar bidang kejuruteraan

MQA, EMGS perkukuh kerjasama akreditasi program pelajar antarabangsa


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok