Promosi pendidikan STEM kepada murid B40 bagi memenuhi permintaan abad ke-21
Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) adalah satu pendekatan yang diketengahkan Kementerian Pendidikan (KPM) melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.
STEM yang mengandungi empat elemen penting menjadi penanda aras kepada proses pembentukan dan kemenjadian murid bagi keperluan bakat, potensi dan prestasi masa depan negara.
Berdasarkan kajian semasa, terdapat beberapa cabaran dalam meningkatkan kesedaran murid-murid di negara ini mengenai pendidikan STEM.
Salah satunya adalah literasi STEM dalam kalangan murid itu sendiri masih lagi berada di tahap yang rendah.
Bagi memastikan perkara ini dapat ditambah baik dari semasa ke semasa, terdapat pelbagai cara yang boleh dilakukan oleh semua pihak bagi membuka mata para murid khususnya kumpulan murid B40 yang rata-ratanya daripada keluarga berpendapatan rendah.
Selain itu, ia juga memastikan jurang antara inspirasi kerajaan dan kemenjadian murid B40 dapat dirapatkan melalui platform pendidikan STEM.
Salah satu cara yang terbaik adalah menyediakan lebih banyak pengalaman secara amali (praktikal) yang perlu disediakan oleh sekolah.
Ini kerana masih banyak lagi sekolah-sekolah di negara ini terutamanya sekolah-sekolah di luar bandar menggunakan kaedah pembelajaran secara tradisional seperti memfokuskan pembelajaran berkonsepkan ‘chalk and talk’ atau dipanggil sebagai kaedah syarahan.
Lebih parah lagi apabila ada segelintir guru yang hanya memberikan murid-murid lembaran kerja semasa mengajar subjek atau aktiviti yang berkaitan dengan pendidikan STEM.
Sewajarnya pada peringkat awal usia murid-murid seperti prasekolah dan Tahun Satu, pembelajaran secara amali perlu diterapkan oleh para guru dari hari ke hari.
Ini kerana mereka memerlukan informasi dan maklumat lebih jelas mengenai sesuatu topik yang diajar melalui pengalaman sebenar berbanding hanya mendengar penerangan guru.
Jika diterangkan dengan terperinci dan lebih mendalam, murid-murid yang mempelajari proses penanaman tumbuh-tumbuhan secara langsung akan merangsang pemahaman lebih jelas mengenai ciri fizikal tumbuh-tumbuhan tersebut berbanding murid-murid yang mendengar penerangan guru berkaitan pembesaran itu melalui paparan di dalam kelas.
Untuk itu, setiap guru perlu yakin akan kemampuan diri untuk mempelbagaikan pengajaran secara amali apa juga aktiviti STEM agar kemampuan dan pemahaman murid-murid dapat diasah melalui kreativiti yang ditonjolkan oleh guru itu sendiri.
Selain itu, promosi yang boleh ditonjolkan sekolah dalam meningkatkan minat murid-murid khususnya murid luar bandar kepada pendidikan STEM adalah dengan mewujudkan Hari Inovasi Sekolah.
Mungkin nama ini dapat dipelbagaikan berdasarkan kreativiti guru-guru tetapi apa yang ingin ditekankan adalah setiap sekolah perlu menggilap bakat baru murid-murid melalui Hari Inovasi ini.
Jika dilihat di negara-negara maju seperti Findland dan Korea, Hari Inovasi Sekolah menjadi salah satu majlis rasmi di negara mereka.
Mereka beranggapan apabila bakat murid dicungkil dari kecil, kemungkinan untuk anak-anak didik ini menjadi pembawa idea kepada negara adalah lebih tinggi.
Selain itu, guru juga boleh menubuhkan ahli jawatankuasa yang berperanan untuk mewujudkan Hari Inovasi kerana bermula dari sini kita dapat lihat akan kemampuan murid-murid dalam mencipta sesuatu.
Namun perlu diingatkan Hari Inovasi Sekolah itu bukan dilaksanakan untuk melihat produk mana yang lebih unggul tetapi ia lebih kepada memberi peluang dan ruang untuk murid-murid berkarya dengan melihat proses projek atau idea mereka.
Melalui langkah ini, ia sedikit sebanyak akan memberi peluang kepada murid-murid untuk meminati pendidikan STEM atau kerjaya STEM pada masa akan datang.
Seterusnya, promosi yang dapat dilakukan dalam meningkatkan pengaruh pendidikan STEM di sekolah adalah melalui pelaksanaan bengkel kepada guru-guru.
Ini kerana jika guru tidak memahami kandungan yang ingin disampaikan kepada murid-murid mengenai pendidikan STEM, sudah semestinya mereka akan hilang pertimbangan dan maklumat yang disampaikan.
Lebih baik lagi jika guru memahami pedagogi mengenai pendidikan STEM terlebih dahulu sebelum menyampaikan kepada murid-murid di dalam kelas.
Sebagai contoh penganjuran bengkel berkaitan STEM boleh dilakukan di peringkat daerah atau negeri agar setiap peserta memahami dengan lebih terbuka apakah pendidikan STEM yang sebenarnya dan bagaimana ia dapat dilaksanakan di sekolah.
Kerajaan juga perlu menyediakan lebih banyak bengkel kepada guru-guru khususnya kepada mereka yang mengajar subjek STEM ini agar sesuatu maklumat yang disampaikan dapat diterima murid.
Akhir sekali, untuk memastikan pendidikan STEM di negara ini dapat bergerak seiring dengan kemajuan dunia adalah penting untuk dimulai dari sekolah.
Ini bermaksud guru dan murid adalah dua entiti yang paling penting dalam mewujudkan suasana pembelajaran yang menarik.
Penyampaian yang kreatif mengenai kandungan aktiviti STEM akan menarik minat mereka untuk terus fokus mengenai aktiviti tersebut.
Kreativiti guru dalam menyampaikan informasi mengenai STEM kepada murid-murid juga akan menggalakkan pemikiran mereka untuk menjadi bakal saintis, doktor, mekanik, pengkaji dan pelbagai kerja yang melibatkan bidang ini pada masa akan datang.
Maklumat Penulis
- Calon Doktor Falsafah (PhD), Universiti Teknologi Malaysia, Nur Azam Ghazali