Dokumentari mahasiswa UM rangkul anugerah di China
Universiti Malaya (UM) terus membanggakan nama negara apabila mahasiswa universiti itu berjaya merangkul anugerah di pentas antarabangsa, baru-baru ini.
Mahasiswa Sarjana Pengajian Media UM, Rosli Mohd Nordin berjaya menempa kejayaan tersebut apabila dokumentarinya bertajuk Wanita Bidayuh Bergelang Tembaga mengungguli kategori Audio Visual Program Kreatif Cemerlang-Dokumentari Pendek di pameran pertukaran Video Pendek Pelajar-Pelajar Negara Asia 2022 di Jilin, China.
Menurut Rosli, dia tidak percaya bahawa dirinya terpilih sebagai pemenang memandangkan penyertaan dihantar pada saat-saat akhir.
Tambahnya, saingan yang diterima daripada mahasiswa berbakat negara-negara asia yang lain juga bukan calang-calang.
“Penyelaras bagi pelajar sarjana di Jabatan Pengajian Media dan Komunikasi UM, Dr Fadli Abdullah ada berkongsi poster pertandingan tersebut kepada semua pelajar.
“Selepas membaca poster itu, saya mengambil serius dan memberanikan diri untuk menyertai pertandingan ini.
“Dokumentari pendek yang saya sediakan bagi projek tahun akhir pengajian juga memenuhi syarat yang telah ditetapkan,” ujarnya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Tambah Rosli, persiapan rapi telah dilakukannya seperti menyediakan sari kata bahasa Inggeris, saiz dan kualiti visual serta dokumen yang diperlukan oleh pihak penganjur.
Ujarnya, proses yang terlibat tidak semudah yang disangka lebih-lebih penyertaannya dihantar pada saat akhir.
“Proses pendaftaran nampak mudah namun sebenarnya mencabar kerana setiap syarat harus dipenuhi untuk melayakkan penyertaan saya.
“Juri yang menilai juga terdiri daripada mereka yang profesional sekali gus menjadikan proses penilaian ini ketat,” katanya.
Sebagai pemenang, Rosli membawa pulang wang tunai RMB2,000,00 (RM1,300) dan sijil penyertaan.
Objektif pertandingan bertemakan ‘Demi Masa Depan Bersama’ ini adalah untuk menggalakkan para belia di Asia menterjemahkan kreativiti mereka melalui aspek budaya yang dipindahkan kepada bentuk audio-visual.
Di samping itu, ia juga inisiatif untuk menggalakkan persefahaman yang dapat membentuk konsep saling hormat menghormati dalam kalangan belia di negara asia.