Belajar Ulul Albab tidak menjadikan seseorang itu bergelar ustaz atau ustazah semata-mata, mereka juga boleh menceburi bidang profesional yang lain. 
Belajar Ulul Albab tidak menjadikan seseorang itu bergelar ustaz atau ustazah semata-mata, mereka juga boleh menceburi bidang profesional yang lain. 

Ulul Albab bidang pengajian ‘istimewa’

AZLEENDA SAHALUDIN
27 Mar 2023 10:39am
A
A
A

“Bidang pengajian Ulul Albab ini boleh saya katakan istimewa kerana menekankan hafalan al-Quran dan membantu menajamkan minda mereka yang menghafalnya.”

Itulah antara pendapat yang dilontarkan penuntut tahun pertama, Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia dan Teknologi (Makanan), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Ain Shahirah Mohd Noor Azib.

Ain Shahirah
Ain Shahirah

Katanya, mereka yang menuntut pengajian Ulul Albab tidak terikat menjadi seorang ustaz atau ustazah semata-mata tetapi boleh juga ceburi bidang pengajian profesional yang lain.

Buktinya, Ain Shahirah kini meneruskan pengajian dalam bidang yang diminati di universiti terkemuka itu di samping berjaya menamatkan hafalan 30 juzuk al-Quran.

Tambah anak sulung daripada enam beradik itu, walaupun secara peribadinya agak mencabar terutamanya dalam pembahagian masa antara pelajaran dengan menguasai hafalan al-Quran namun Ain Shahirah berjaya mengingati kesemua surah dalam masa empat tahun.

“Saya memang berminat untuk menghafal al-Quran sejak kecil hasil didikan dan dorongan ibu bapa.

“Dan ia bermula dengan menghafal surah-surah pendek sebelum memasuki Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Ulul Albab di Gemencheh, Negeri Sembilan.

Artikel Berkaitan:

“Dengan berbekalkan segala ilmu dan hafalan di MRSM, ia sedikit sebanyak membantu saya menguasai sepenuhnya 30 juzuk al-Quran semasa pengajian diploma di UniKL,” ujarnya ketika dihubungi Sinar Bestari, baru-baru ini.

Dia yang kedengaran teruja ketika bercerita tentang pengajian Ulul Albab ini turut memaklumkan, keistimewaan bidang itu dapat dilihat melalui tiga perkara utama iaitu Quranik, Ensiklopedik dan Ijtihadik.

Jelasnya, Quranik merupakan modul membentuk dalaman diri seseorang yang mampu menghafal al-Quran selain berpengetahuan tinggi tentang kitab suci itu seperti ketertiban bacaan, lagu dan memahami segala pengajaran yang terkandung di dalamnya melalui pembacaan, hafalan, pemahaman, berfikir, amalan dan sebaran.

Ensiklopedik pula adalah kemahiran menguasai lebih daripada satu bahasa yang boleh dijadikan sumber rujukan orang lain.

Manakala, Ijtihadik dalam konteks Ulul Albab membawa erti seseorang yang mempunyai pemikiran kreatif dan kritis serta berupaya memberikan pandangan juga pendapat dalam menyelesaikan masalah.

Ain Shahirah juga memberitahu, melalui tiga perkara ini jelas membuktikan tiada sebarang sekatan buat seseorang pelajar huffaz yang bercita-cita menyambung pengajian dalam bidang yang diminati.

Ia juga dilihat selaras dengan usaha kerajaan dalam melahirkan lebih ramai graduan berkualiti yang berilmu pengetahuan dan mempunyai kemahiran relevan dengan kerjaya masa kini berteraskan nilai Islam yang kukuh.

Bercerita tentang impiannya untuk menjadi penganalisis makanan, Ain Shahirah turut mengingatkan kepada mereka yang berminat untuk menceburi pengajian Ulul Albab agar bersemangat meneruskan impian itu.

“Tidak kira siapa atau baru menghafal surah-surah pendek tetapi sekiranya ia dilakukan secara berkala, insya-ALLAH 30 juzuk al-Quran pasti tersemat di dalam kepala.

“Sebagai seorang muslim juga, jadikan al-Quran sebagai sahabat terutamanya pada masa lapang daripada dibazirkan dengan perkara-perkara tidak berfaedah.

“Dengan cara ini, ia dapat membantu memudahkan kefahaman dan lebih fokus di dalam kelas.” tuturnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok