Untitled design (8)
Untitled design (8)

UNITEN lantik Profesor Anjung baharu, idam mahu bawa masuk lebih ramai pakar

firdaus.hanafi
26 Jan 2023 06:23pm
A
A
A

Sebagai sebuah institut pengajian tinggi (IPT), penyediaan silibus pendidikan yang berkualiti kepada pelajar pastinya menjadi keutamaan.

Dengan silibus yang berkualiti ia akan meningkatkan nilai yang ada pada mahasiswa sekaligus menjadikan mereka ini lebih bersedia untuk menempuh alam pekerjaan kelak.

Ini menjadi sasaran Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) apabila mengumumkan pelantikan Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid sebagai Profesor Adjung yang baharu.

Surat lantikan telah diserahkan Presiden yang juga merangkap Ketua Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Ir Baharin Din pada Rabu sambil disaksikan Naib Canselor UNITEN, Profesor Ir Noor Azuan Abu Osman.

Menurut Noor Azuan, pelantikan Syed Hussian sejajar dengan usaha universiti untuk meningkatkan taraf dan kualiti pendidikan yang ditawarkan.

Ulas beliau, ini juga akan membantu universiti memudahkan jalinan kerjasama antara mahasiswa dan pakar dalam industri pada masa depan.

Tambahnya, selain Syed Hussian, pihaknya juga sedang memantau peluang untuk membawa masuk lebih ramai pakar dari industri yang berlainan untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman mereka bersama pelajar.

“Kami teruja kerana Datuk Seri Dr Syed Hussian sudi menerima pelantikan ini dan berkongsikan pengalaman beliau bersama UNITEN.

“Beliau merupakan profesional yang sudah bekerja dalam pelbagai sektor dan bidang, kami mahu kongsikan pengetahuannya tentang dunia sebenar itu bersama mahasiswa di sini.

“Kami percaya beliau dapat mempersiapkan pelajar ke alam pekerjaan dengan memberikan pandangan dan nasihat kepada mereka khususnya berkaitan industri,” kata Noor Azuan dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Syed Hussian akui beliau berbesar hati dengan tawaran yang diberikan UNITEN dan menganggap ini satu peluang untuk dirinya berkongsi ilmu kepada generasi baru.

Kata beliau, sebagai pemimpin dalam industri, dirinya mempunyai pengalaman bertahun-tahun terutamanya berkaitan tenaga kerja.

“Selain itu, kami juga bertanggungjawab melakukan perubahan bagi menghadapi cabaran pada masa depan.

“Saya harap dapat berkomunikasi dengan mahasiswa UNITEN dengan baik dan pada masa yang sama mereka teruja untuk mendapat ilmu baru nanti,” kata Syed Hussian.

Syed Hussian adalah individu yang berpengalaman lebih 30 tahun dalam industri seperti insurans, teknologi dan media.

Selain itu, beliau turut aktif untuk membantu pelajar tempatan mendapatkan akses kepada pendidikan yang berkualiti.

Usaha dan sumbangan Syed Hussian diakui secara meluas oleh universiti terkemuka tanah air seperti Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

Artikel berkaitan

Hassan Said dilantik Pengerusi Ahli Lembaga Pengelola UNITEN baharu

Mahasiswa UNITEN berkongsi ilmu bersama 50 anak yatim Pahang

Dr Hazami Jahari dilantik Ketua Pengarah DBP baharu


 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok