Kredit foto: Hasan Almasi/Unsplash
Kredit foto: Hasan Almasi/Unsplash

9 petua yang perlu guru baharu lakukan di sekolah, nombor 1 wajib buat!

ROSHLAWATY MD RAIEH
15 Sep 2023 04:39pm
A
A
A

“Sebagai guru baharu, ingin saya nasihatkan agar anda pandai membawa diri di sekolah masing-masing.

“Sekiranya berhadapan masalah, segeralah mencari solusi bagi memastikan cikgu berasa selesa dan gembira ketika melaksanakan tanggungjawab sebagai pendidik,” kata Guru Tingkatan Enam, Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Undang Musa Al-Haj, Jelebu, Negeri Sembilan, Cikgu Razali Saaran.

Menurut Cikgu Razali, guru baharu di sesebuah sekolah yang dimaksudkan itu merangkumi cikgu baharu dan lama.

“Bila anda menjadi individu yang pertama kali mengajar di sekolah (walaupun ada sesetengahnya sudah bertahun-tahun menjadi pendidik), anda tetap menjadi orang baharu di sekolah tersebut.

“Justeru, anda wajar mengamalkan sembila petua di bawah agar karier sebagai pendidik berjalan lancar,” jelas beliau.

Mari ikuti sembilan petua hasil perkongsian Cikgu Razali kepada para guru.

1) Hormati guru-guru di sekolah baharu

Artikel Berkaitan:

Maksud saya, jangan kita buat tidak tahu apabila bertemu mata. Paling tidak senyumlah dahulu. Jika ada sedikit kekuatan, bertanyakan khabar mereka.

Cikgu perlu faham, orang lama di tempat baharu tetap senior walaupun mungkin kita lebih lama berkhidmat dalam dunia pendidikan. Tidak rugi bermanis muka sebagai tanda kita orang yang ada budi bahasa. Jika mahu dihormati dan disenangi, perlu tahu menghormati orang lain.

2) Jangan tunjuk diri serba tahu

Bukan tidak boleh menunjukkan kemampuan diri, boleh cuma pastikan ia adalah cara yang tidak menyakitkan hati orang lama di sana.

3) Banyakkan bertanya

Sebagai orang baharu kena banyak bertanya supaya cepat belajar. Ingat, jika kita guru lama, budaya kerja di sana mungkin berbeza. Tunjukkan kita ada budi bahasa. Pasti akan disenangi orang.

4) Banyakkan mendengar

Mohon elakkan diri daripada terlibat dengan kumpulan tertentu. Hanya jadi pendengar sahaja dan jangan terlibat dengan politik organisasi yang wujud. Kita mungkin tidak tahu siapa sebenarnya yang betul. Sikap berdiam diri akan menyelamatkan diri daripada fitnah lain.

5) Jangan mengelak kerja

Mengelak kerja bukan sahaja mengundang rasa meluat di hati orang lain, malah boleh menyebabkan prestasi cikgu kurang baik.

6) Pastikan waktu datang dan balik kerja mengikut peraturan sekolah

Perkara ini juga turut dinilai dalam organisasi. Jangan kita tersenarai dalam golongan yang sering datang lewat tanpa sebab. Orang baharu perlu menunjukkan sikap baik di tempat baharu. Jika tidak, kita akan jadi bahan gosip di sana.

7) Masuk kelas tepat pada masanya dan mengajarlah dengan penuh kesungguhan

Orang baharu jangan ambil remeh akan perkara ini. Banyak mata yang sedang memandang. Tunjukkan kita orang yang amanah dalam bekerja. Pelajar sedang menilai dan mereka pasti akan menyebut siapa kita di belakang nanti.

8) Sampaikan suara hati kita dengan berhati-hati

Orang baharu kadang-kadang diberi pelbagai kerja. Perkara ini mungkin tidak disedari oleh pihak pengurusan. Apa yang terbaik, jika diri rasa beban kerja terlalu banyak, bawalah kepada pengetahuan mereka. Sampaikan secara baik supaya mereka boleh memahami apa yang di maksudkan.

9) Elakkan berada dalam kumpulan yang dominan, sebaliknya bergaullah dengan semua orang

Inilah kesilapan yang sering kita buat sebagai orang baharu. Kumpulan yang dominan dalam organisasi belum tentu kumpulan yang baik. Mereka memang mencari pengaruh dan kita jangan terperangkap dalam permainan mereka.

Jadilah orang yang neutral. Ke mana pergi diterima, disenangi dan disegani.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok