1612969
1612969

Isu 15 calon gagal SPM gara-gara bawa telefon, satu iktibar buat semua warga pendidikan

Adlan Farhan Azwan
08 Jul 2022 12:05pm
A
A
A

Baru-baru ini, tular di laman media sosial apabila satu surat daripada Lembaga Peperiksaan (LP) menolak rayuan kedua 15 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang didakwa membawa telefon bimbit ke dalam dewan semasa peperiksaan.

Menurut perkongsian oleh guru Sekolah Kebangsaan (SK) Gombak 1, Mohd Fadli Salleh, kejadian dikatakan berpunca daripada peperiksaan kertas Sejarah 2 yang bermula lewat.

“Ketua Pengawas peperiksaan telah memulakan sidang peperiksaan dengan kelam kabut sehingga pelajar turut tergesa-gesa untuk memasuki dewan.

“Kata pelajar, ketua pengawas telah gagal membuat pengumuman berkenaan larangan membawa bahan terlarang ke dalam dewan peperiksaan dan ia menyebabkan 15 pelajar terbawa telefon ke dalam dewan dan terlupa untuk mengeluarkannya.

“Sudah menjadi tabiat untuk meletakkan telefon di dalam poket, namun jika ada peringatan sebelum peperiksaan bermula, mesti mereka ingat dan terus keluarkan,” katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook.

Beliau berkata, pengumuman larangan membawa telefon bimbit yang dibuat oleh ketua pengawas hanya dilakukan semasa peperiksaan berlangsung.

“Ketua Pengawas telah membuat pengumuman kepada pelajar yang terbawa telefon bimbit agar menyerahkan telefon kepada pengawas dengan berjanji tidak akan mengambil tindakan terhadap pelajar.

“Pelajar yang jujur telah terpengaruh dan menyerahkan telefon mereka, tetapi janji itu tidak ditepati sehingga mengakibatkan kertas sejarah mereka ‘DIBATALKAN',” jelas beliau.

Hasilnya, LP menolak rayuan kedua bagi menyemak semula keputusan mereka dan menyebabkan semua pelajar yang terlibat gagal SPM.

Dalam pada itu, Kementerian Pendidikan (KPM) menghormati segala keputusan dan protokol yang telah dipatuhi oleh LP berhubung tindakan badan itu membatalkan keputusan subjek Sejarah bagi 15 calon SPM 2021.

Menterinya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, LP adalah lembaga bebas dan selagi ia mematuhi protokol yang ditetapkan, segala keputusan yang dibuat harus dihormati.

“Kalau menteri masuk campur akan cetuskan senario kelam-kabut dalam konteks pelaksanaan peperiksaan," katanya ketika sidang media selepas merasmikan Anugerah Penggunaan Digital dan Teknologi (DUTA) 2021 di Bukit Kiara, semalam.

Sebagai pelajar, membawa barangan terlarang seperti telefon bimbit adalah kesalahan yang amat besar terutamanya ke dalam dewan peperiksaan SPM.

Surat Pekeliling Ikhtisas Bil 2/2009 yang dikeluarkan oleh KPM telah menggariskan panduan larangan penggunaan telefon bimbit oleh murid di dalam kawasan sekolah.

Selain itu, Garis Panduan dan Arahan Peperiksaan SPM juga sudah memaklumkan calon dilarang membawa telefon bimbit, alat-alat komunikasi atau peranti elektronik ke dalam dewan/bilik peperiksaan.

Calon yang melanggar sebarang peraturan peperiksaan boleh disabitkan dengan mana-mana salah laku dan boleh dikenakan tindakan berikut:

i. keputusan peperiksaan digantung sementara menunggu selesainya penyiasatan;

ii. keputusan peperiksaan mana-mana kertas peperiksaan dibatalkan;

iii. keputusan peperiksaan yang dikendalikan di sesuatu pusat peperiksaan diisytiharkan terbatal.

Pihak pengawas yang bertugas peperiksaan juga perlu mematuhi segala prosedur dan ketetapan yang telah digariskan oleh KPM di dalam Garis Panduan Pengurusan Pentaksiran Pusat dan Peperiksaan Awam.

Isu kelewatan memulakan peperiksaan sepatutnya tidak harus berlaku sama sekali kerana setiap peperiksaan sudah dijadualkan terlebih dahulu.

Semua pihak terlibat sama ada pelajar atau pengawas peperiksaan harus bertanggungjawab dan memainkan peranan masing-masing agar perkara ini tidak akan berulang pada masa akan datang.

Artikel berkaitan

Pelajar cemerlang SPM 2021 terkedu ibu kerja semula untuk biaya pengajian tinggi

Mansuh PT3, KPM perkasa pelaksanaan PBS

5 tip mudah skor A+ Matematik SPM, pelajar pasti boleh buat!


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok