papan-tanda-upsi
papan-tanda-upsi

Papan tanda di Pantai Teluk Dalam, usaha UPSI tingkatkan kesedaran alam kepada pengunjung

Adlan Farhan Azwan
29 Sep 2022 04:06pm
A
A
A

Sebagai usaha meningkatkan kesedaran memelihara ekosistem alam sekitar menerusi pendidikan, Majlis Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEPA), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), baru-baru ini telah melaksanakan pemasangan papan tanda kempen kesedaran alam sekitar di kawasan Pantai Teluk Dalam, Pulau Redang, Terengganu.

Menurut Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff, inisiatif pemasangan papan tanda yang menyampaikan maklumat tujuh prinsip Tinggalkan Tanpa Jejak atau ‘Leave No Trace’ diharap menjadi panduan kepada para pengunjung untuk sama-sama membantu memelihara pantai tersebut.

“Sebagai sebuah pusat pengajian peneraju pendidikan terulung tanah air, kami sentiasa prihatin terhadap kepentingan tanggungjawab sosial dengan pelbagai usaha yang dapat memberi faedah dan menyumbang kepada kestabilan pemulihan negara,” katanya ketika sesi simbolik penyerahan papan tanda yang siap dipasang kepada Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung Pulau Redang, Amran Mat, baru-baru ini.

Papan tanda kesedaran alam diharap menjadi panduan kepada para pengunjung untuk sama-sama membantu memelihara pantai – Mazuki Mohd Yasim.

Tujuh teras Tinggalkan Tanpa Jejak yang dipaparkan pada papan tanda tersebut ialah perancangan dan persiapan aktiviti, pelupusan sisa dengan cekap, menggunakan tapak perkhemahan dan laluan yang ditetapkan, larangan mengalihkan tumbuhan atau artifak yang dijumpai, minimumkan pembakaran, bertimbang rasa pada pengunjung yang lain serta menghormati hak kehidupan haiwan liar.

Dalam pada itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Profesor Dr Norkhalid Salimin yang turut serta berkata, inisiatif itu juga dilaksanakan untuk menyokong Matlamat Pembangunan Mampan 14, Kehidupan Bawah Air, Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dengan meningkatkan pengetahuan saintifik, penyelidikan dan teknologi untuk kesihatan lautan.

“Kawasan pantai ini padat dengan kehadiran pelancong serta menjadi tumpuan pengunjung yang menginap di chalet-chalet diusahakan oleh penduduk kampung serta pengusaha hotel berhampiran kerana tarikan seperti kehadiran penyu yang mudah ditemui di sekitar pantai selain keindahan pantai itu sendiri.

“Secara tidak langsung, ia bukan sahaja mendidik malah pemindahan maklumat akan berlaku kepada para pengunjung,” jelasnya.

Para sukarelawan UPSI memasang papan tanda untuk kegunaan Pantai Teluk Dalam, Pulau Redang.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengarah JHEPA UPSI, Dr Mazuki Mohd Yasim pula memberitahu, inisiatif tersebut yang turut diselaraskan oleh sembilan ahli jawatankuasa Pengarah terdiri daripada Pusat Kokurikulum, Pusat Alumni, Pusat Kebudayaan, Pusat Sukan, Pusat Kaunseling, Pusat Islam, Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (EDGE), Pusat Ulul Albab dan Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) UPSI akan terus melaksanakan program khidmat komuniti pada masa akan datang.

“Sebelum ini, Majlis Pengarah JHEPA menerusi Pusat Kokurikulum sendiri telah mengadakan pelbagai bengkel melibatkan pemindahan ilmu melibatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Daerah Muallim seperti proses penyelamat menerusi arus deras yang mendapat penyertaan menggalakkan

“Menerusi penyatuan semua pusat tanggungjawab di bawah Majlis Pengarah JHEPA ini juga secara tidak langsung dapat menyelaras aktiviti dan program berimpak melalui gandingan lebih strategik bagi menyuburkan aktiviti kesukarelawan dan pemindahan ilmu dengan lebih lestari,” lanjutnya.

Artikel berkaitan

Program Pencinta Alam SK Seksyen 9, pupuk nilai prihatin terhadap alam sekitar

Lebih 90 sukarelawan sertai Program Sukarelawan Kolej Komuniti Negeri Sembilan sempena World Cleanup Day 2022

Persekitaran punca kesihatan mental terganggu- Mahasiswa UPM


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok